Kuil Sri Muneswarar Kaliyaman Jalan P. Ramlee Tidak Akan Diroboh - Tengku Adnan

Diterbitkan: Isnin, 2 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan memberi jaminan Kuil Sri Muneswarar Kaliyaman di Jalan P. Ramlee di sini tidak akan dirobohkan.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, malah pihaknya akan mencantikkan dan membina pagar bagi melindungi kuil berusia 101 tahun itu untuk memudahkan penganutnya melakukan upacara keagamaan.

Katanya, hanya struktur kantin dan restoran yang dibina secara haram di sebelah kuil itu akan dirobohkan.

"Kami tahu kuil ini merupakan tempat suci bagi masyarakat India di sekitarnya, kami bukan sahaja akan melindunginya malah akan membina pagar dan mencantikkan kawasan kuil," katanya kepada pemberita selepas melawat Kuil Sri Muneswarar Kaliyaman di sini, Isnin.

Turut hadir Timbalannya, Datuk Dr J. Loga Bala Mohan, Naib Presiden Kanan Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) Datuk Maglin Dennis D'Cruz dan Pengerusi PPP Wilayah Persekutuan Datuk A. Chandrakumanan.

Pada Ahad, sekumpulan pegawai DBKL dihalang oleh anggota komuniti kuil itu serta beberapa pemimpin parti kaum India daripada cuba merobohkan penyambungan struktur haram di sebelah kuil itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan