Kekal Bersatu Pertahan Kedaulatan - Najib

Diterbitkan: Sabtu, 31 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak rakyat untuk kekal bersatu demi mempertahan kedaulatan Malaysia yang sejak puluhan tahun menjadi negara yang merdeka serta bebas daripada cengkaman penjajahan asing.

Dalam perutusan sempena Hari Kemerdekaan ke-56 yang disambut esok, perdana menteri menegaskan kini bukanlah masa untuk rakyat Malaysia berpecah belah. "Walau apa dugaan yang merintang, kita tidak boleh berputus asa, sebaliknya harus mara untuk memajukan negara berasaskan perpaduan nasional," kata Najib ketika menyampaikan perutusan itu yang disiarkan stesen televisyen tempatan malam ini.

Beliau menarik perhatian bahawa memiliki kedaulatan bermaksud rakyat Malaysia sendiri berhak sepenuhnya dalam segala urusan mentadbir, memerintah dan menentukan sendiri hala tuju negara. "Malah, dalam menjiwai kemerdekaan dan kisah-kisah meraihnya, kita juga wajib terus memelihara dan mempertahan perkara-perkara berkaitan Raja-raja Melayu, kedudukan agama Islam serta keistimewaan Melayu dan Bumiputera seperti mana bapa-bapa kita terdahulu telah maktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya. Acara perbarisan Hari Kemerdekaan tahun ini yang bertema 'Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku' akan berlangsung di Dataran Merdeka di sini esok, dengan acara Ambang Merdeka 2013 menunggu detik 12 malam tanda tibanya 31 Ogos dijadual diadakan di Pusat Maritim, Putrajaya malam ini.

Najib seterusnya mengambil kesempatan untuk mengingatkan rakyat bahawa kedaulatan sebagai faktor yang menunjang Malaysia sebagai sebuah negara, tidak datang secara bergolek. "Telah banyak keringat mengalir, telah sekian tumpahnya darah pengorbanan. Semua itu hasil perjuangan para pemimpin bersama generasi terdahulu, dan bersinambung sampai sekarang," katanya.

Justeru, Najib berkata sambutan kemerdekaan bukanlah sekadar laungan membangkitkan semangat kerana lebih daripada itu, ia perlu disulami dengan penghayatan mendalam. "Pengisiannyalah yang lebih utama, dan terbukti kita telah melalui episod-episod seperti perselisihan antara kaum, krisis kewangan dan kemelut politik. Syukurlah semua itu kita lalui dengan jayanya," kata perdana menteri.

Kata Najib, perkara utama untuk direnungkan dalam mencapai maksud ulang tahun kemerdekaan ialah sejauh mana kejayaan yang dicapai sehingga kini dalam mempersiap dan mempersembahkan sebuah Malaysia progresif untuk ditinggalkan kepada zuriat hari muka.

Menurutnya, pelbagai usaha perlu digembleng dan dibugarkan supaya generasi muda tanpa mengira latar agama, keturunan mahupun budaya menjadi celik sejarah.

Anak-anak muda, kata perdana menteri, perlu terus dibimbing, dipersiap dengan jati diri dan diperteguh semangat patriotisme mereka. "Barulah Malaysia dengan rakyatnya yang berjiwa besar akan kekal berdaulat lagi merdeka dalam permaknaan sebenar," katanya.

Merujuk kepada insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini, Najib berkata tragedi berdarah itu menjadi satu pengajaran bahawa Malaysia tidak terlepas daripada terdedah kepada ancaman musuh dari luar.

"Tragedi malang itu menyentap benak sanubari rakyat Malaysia tentang peri mustahak untuk kekal bersatu demi mempertahan kedaulatan negara," katanya sambil menambah usaha berterusan perlu dibuat untuk menyemai jati diri dan semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat, terutama generasi pewaris.

Najib turut mengajak rakyat menjadikan iktibar krisis dalaman di beberapa negara Arab yang seperti tiada kesudahannya. "Demikianlah jika perubahan yang ditagih hanya sekadar perubahan semberono," kata perdana menteri sambil menambah kemusnahan ekonomi dan pertumbuhan sesebuah negara akan terjejas apabila tiada kestabilan dan perpaduan.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat Malaysia supaya menghargai keamanan, memelihara keharmonian dan memupuk perpaduan dengan mencintai negara.

Najib seterusnya berkata rupa dan wajah Malaysia seperti yang dilihat dewasa ini telah dibina melalui pelbagai ikhtiar, perancangan teliti serta strategi rapi oleh kerajaan sejak berdekad lalu mengikut pendekatan dan acuannya sendiri.

Sambil merujuk kepada Malaysia yang menjadi tanah air kepada masyarakat berbilang kaum yang unik di dunia, beliau berkata:

"Keunikan inilah menjadikan kita istimewa dan aset untuk mencapai taraf negara maju berpendapatan tinggi beberapa tahun lagi." -BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Kolumnis

iklan

Iklan