Yahya Pertahan Penubuhan Esscom Untuk Jaga Keselamatan

Diterbitkan: Jumaat, 30 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTATAN: Penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (Esscom) secara keseluruhan amat baik dan berkesan bagi mengawal kemasukan pendatang haram atau penceroboh ke negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin.

Bagaimanapun, beliau berkata masih terdapat ruang untuk memperbaiki dan memperkukuhkan lagi kawalan keselamatan di kawasan perairan negeri ini.

"Bila kita membuat sesuatu yang positif, ada sahaja yang tidak setuju. Mengkritik itu boleh, tetapi haruslah mengkritik untuk kebaikan iaitu memberi idea atau pendapat bagaimana ia boleh diperbaiki. "Tujuan kerajaan menubuhkan Esscom ialah untuk mengawal kemasukan pendatang haram atau penjenayah, atau mereka yang menceroboh ke negara kita, khususnya Sabah, dan kalau ada kelemahan, saya tidak hairan kerana Esscom baharu ditubuhkan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kembara Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Daerah Putatan di pekarangan Pejabat Daerah Putatan pada Jumaat.

Yahya, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan beberapa pihak yang cuba memperkecil kepentingan Esscom. Mengulas kewujudan kumpulan kongsi gelap di Sabah, Yahya berkata perkara itu menyedihkan dan berharap orang ramai dapat memaklumkan pihak berkuasa, terutama polis, jika mempunyai maklumat berhubung kegiatan kongsi gelap atau samseng.

Semalam, Ketua Setiausaha Dalam Negeri Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dipetik sebagai berkata terdapat lima kumpulan kongsi gelap aktif di Sabah daripada 49 yang dikesan di seluruh negara iaitu ATAP, Hung Ann, Sui Yuk, Otai dan Borneo Red EMP.

Terdahulu, dalam ucapannya, Yahya berkata kerajaan amat serius menangani isu keselamatan dan sentiasa memastikan keamanan di negara ini berkekalan.

Beliau turut menyeru semua lapisan masyarakat agar sama-sama mempertingkat taat setia kepada negara bagi mempertahan keamanan dan kemakmuran untuk generasi akan datang.

Menyentuh sambutan hari kemerdekaan, Yahya yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Petagas menyeru semua warga Malaysia, khususnya masyarakat di daerah Putatan, sama-sama menyahut seruan kerajaan mengibarkan Jalur Gemilang serta bendera Sabah sebagai tanda syukur dan terima kasih kepada kerajaan, yang berjaya mengekal dan mempertahan kedaulatan negara. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan