Tetap Kadar GST Pada 3-4 Peratus - Biro MCA - Berita Semasa | mStar

Tetap Kadar GST Pada 3-4 Peratus - Biro MCA

Diterbitkan: Jumaat, 30 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Biro Profesional Muda MCA mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya menetapkan kadar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada tiga hingga empat peratus dan untuk menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan sekarang ini.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Ketua Biro Datuk Chua Tee Yong berkata kadar tersebut tidak boleh ditetapkan sehingga tujuh peratus.

"Kadar GST yang tinggi akan memberi kesan negatif kepada ekonomi negara," katanya. Chua berkata cukai pendapatan individu dan korporat perlu dikaji semula dengan diturunkan.

"Kerajaan juga perlu memastikan langkah tambahan diadakan bagi membantu kumpulan yang kurang dari segi ekonomi," katanya.

Beliau berkata GST, sistem cukai kompleks, memerlukan banyak penerangan dan maklumat untuk membolehkan sektor awam dan swasta serta industri memahaminya.

"Isu seperti tempoh bayaran balik terhadap GST, barang-barang yang dikecualikan daripada cukai dan barangan sifar cukai memerlukan penjelasan lanjut untuk memastikan orang ramai memahami dengan lebih baik mengenai perjalanan GST," katanya.

Chua berkata kenaikan dalam cukai keuntungan hartanah boleh meningkatkan hasil kerajaan dan menangani spekulasi hartanah. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan