PM Umum Peluang Pelaburan RM4.2 Bilion Untuk Syarikat Bumiputera

Diterbitkan: Khamis, 29 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan tambahan RM4.2 bilion nilai peluang dalam empat lagi projek mega untuk syarikat-syarikat Bumiputera melalui peruntukan khas.

Najib berkata kerajaan telah bersetuju untuk meneruskan inisiatif peruntukan khas Bumiputera dengan mewujudkan peluang kepada syarikat-syarikat menyertai empat projek mega iaitu Menara Warisan Merdeka, Bukit Bintang City Centre, Pembangunan Tanah RRI Sungai Buloh dan Pusat Pameran Matrade.

Sebanyak 40 peratus daripada nilai projek ini diperuntukkan kepada syarikat Bumiputera yang secara langsung membuka peluang kontrak bernilai RM4.2 bilion, kata beliau pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tindakan Agenda Bumiputera di sini Khamis.

Perdana Menteri berkata ada antara empat projek tersebut yang kini sedang dilaksanakan seperti Pusat Pameran Matrade manakala Menara Warisan masih di peringkat awal walaupun tempoh pelaksanaan projek itu sedang ditentukan.

"Untuk Bukit Bintang City Centre, projek itu kini sedang dalam peringkat penentuan dari segi permohonan untuk cadangan dan juga Pembangunan Tanah RRI dijangka dapat dimulakan tidak lama lagi," kata beliau.

"Empat projek ini mempunyai garis masa yang berbeza tetapi dijangka dalam lima tahun akan datang, projek-projek ini akan dilaksanakan dan ada yang siap sepenuhnya," jelas Najib.

Menurut Perdana Menteri, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) yang ditubuhkan lebih dua tahun lalu telah mewujudkan sebanyak RM18.2 bilion peluang perniagaan, pembiayaan dan pembangunan modal insan kepada syarikat-syarikat Bumiputera melalui kerjasama strategik dengan pelbagai agensi kerajaan dan syarikat swasta.

"Sehingga Ogos 2013, Teraju telah meluluskan geran mudah cara sebanyak RM412.2 juta kepada 87 projek yang dilaksanakan oleh syarikat Bumiputera dari pelbagai sektor dengan nilai pelaburan swasta berjumlah RM3.7 bilion.

"Inisiatif ini telah membantu ke arah mewujudkan lebih kurang 13,000 peluang pekerjaan," kata beliau.

Selain itu, Najib berkata penyertaaan syarikat-syarikat Bumiputera dalam program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras) telah meningkat kepada 450 syarikat.

"Di bawah program Teras, Teraju menyediakan Dana Teras di beberapa buah institusi kewangan bagi membiayai modal kerja dan aset berjumlah RM1.62 bilion.

"Sehingga kini, RM387 juta telah diluluskan kepada 91 buah syarikat Bumiputera," kata Perdana Menteri.

Jelas Najib lagi, sebelum ini Teraju telah menyediakan peluang kontrak bernilai RM9.1 bilion dalam projek MRT (aliran transit massa) kepada syarikat-syarikat Bumiputera yang bersaing dan telah diagihkan berdasarkan kepada merit.

"Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) juga membincangkan kedudukan keseluruhannya termasuk dari segi ekuiti korporat Bumiputera yang mengikut perangkaan yang disediakan oleh Unit Perancang Ekonomi, ekuiti korporat Bumiputera telah meningkat daripada 23.09 peratus pada 2010 kepada 23.45 peratus pada 2011.

"MTAB berpendapat bahawa langkah-langkah signifikan harus dilakukan bagi memantapkan lagi penyertaan Bumiputera terutama sekali berdasarkan pemilikan ekuiti, peluang pekerjaan, perniagaan dan juga dalam bidang pendidikan," kata beliau.

Najib berkata untuk mengutarakan dasar dan pendekatan yang dapat dilakukan penambahbaikan ke arah langkah-langkah yang lebih berkesan, satu perjumpaan akan diadakan pada 14 September.

Pada perjumpaan itu, Najib berkata polisi dan strategi serta program intervensi berdasarkan pada konteks pendekatan baharu bagi tujuan memantapkan dan memperkasakan lagi agenda ekonomi Bumiputera akan diumumkan.

"Pada masa ini, kita masih lagi menyusun input daripada pelbagai pihak dan pada majlis tersebut akan dibentangkan apakah langkah baharu yang akan dilakukan oleh pihak kerajaan," kata beliau.

Ditanya mengenai perkembangan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), Najib yang juga Menteri Kewangan berkata perkara tersebut masih lagi dikaji termasuk Teraju yang menilai kesan TPPA kepada penyertaan Bumiputera dan kerajaan akan turut mengambil input mereka.

Selain itu, Najib yang turut ditanya mengenai pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) berkata dialog dan perbincangan mengenainya telah diadakan.

"Tentang ini, sama ada akan dimasukkan dalam bajet atau tidak, kita tunggu sahajalah," kata beliau.

Menyentuh mengenai kebimbangan penguncupan lebihan akaun semasa, beliau berkata: "kami akan mengulas mengenainya apabila tiba masa yang sesuai, tetapi kerajaan sentiasa memantau situasi".

"Ini bermakna pasaran menjangka kita mengurus defisit dan imbangan pembayaran untuk memastikan pasaran akan mempunyai keyakinan dalam pengurusan fiskal dan mikro negara ini.

"Butir berhubung isu itu akan diumumkan apabila tiba masa yang sesuai," kata beliau.

Kementerian Kewangan kini memantau penguncupan lebihan akaun semasa, antaranya dengan mempertimbangkan dengan teliti projek-projek sektor awam masa depan.

Projek-projek sektor awam dengan kandungan import yang rendah serta kesan pengganda yang tinggi akan diberi keutamaan tanpa kompromi terhadap pertumbuhan ekonomi. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Kolumnis

iklan

Iklan