Kementerian Rujuk Peguam Negara Pengharaman Tanda Putera Di P.Pinang

Diterbitkan: Khamis, 29 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan merujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut berhubung keputusan kerajaan negeri Pulau Pinang mengharamkan penayangan filem 'Tanda Putera'.

Menteri berkenaan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata pertemuan akan diadakan antara pihak kementerian dan Pejabat Peguam Negara bagi melihat mana-mana peruntukan undang-undang berkaitan dengannya.

"Bidang kuasa memberi lesen kepada pawagam terletak pada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), (manakala) bidang kuasa sama ada sesuatu pawagam itu boleh dibuka, dibina dan sebagainya terletak pada kerajaan tempatan.

"Jadi, jika berlaku konflik seperti ini, kita akan lihat apakah perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan dari perspektif undang-undang. Kita menghormati undang-undang, (dan) bagi kita, ini perkara baharu," katanya ketika mengulas pengharaman tayangan filem patriotik 'Tanda Putra' di Pulau Pinang.

Ditemui pemberita selepas menghadiri raptai sambutan Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka di sini Khamis, beliau berkata Tanda Putera ialah filem berstatus wajib tayang di pawagam di seluruh negara tetapi apabila berhadapan dengan arahan daripada kerajaan tempatan, kementerian perlu melakukan sesuatu.

Menyifatkan tindakan kerajaan Pulau Pinang itu tidak rasional, Ahmad Shabery percaya pihak berkenaan berfikiran sempit dan autoritarian kerana membuat keputusan drastik tanpa menonton dahulu filem itu.

"Filem ini akan ditayangkan nanti di televisyen kerajaan, cakera padat digital, Astro First dan lain-lain lagi.

"Saya nak tahu juga adakah kerajaan Pulau Pinang akan haramkan orang menonton Astro dan televisyen supaya filem itu tidak masuk sempadan negeri tersebut," beliau berseloroh.

Ditanya kontroversi ini membantu melariskan sambutan terhadap filem itu, Ahmad Shabery percaya orang ramai akan mencari dan menonton filem itu dalam usaha ingin mengetahui apa cerita sebenarnya sehingga diharamkan di Pulau Pinang.

Filem Tanda Putera arahan Datin Paduka Suhaimi Baba berkisar mengenai peristiwa 13 Mei 1969 dan menemui penonton di seluruh negara mulai Khamis. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan