Jangan Kait Penahanan Bapa Pelajar Dengan Isu Kantin SK Seri Pristana

Diterbitkan: Rabu, 28 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SUNGAI BULOH: Polis menggesa orang ramai supaya tidak mengaitkan penahanan seorang bapa kepada pelajar di Sekolah Kebangsaan Seri Pristana berhubung isu kantin di sekolah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt Junaidi Bujang berkata, kedua-dua perkara tersebut merupakan subjek siasatan yang berasingan.

"Polis membuatan siasatan berhubung isu kantin berikutan terdapat 19 laporan polis yang dibuat oleh orang ramai dan ibu bapa para pelajar di sana. Empat lagi laporan dibuat oleh kakitangan sekolah," kata Junaidi, sambil menambah bahawa tidak ada unsur jenayah ditemui.

Bagaimanapun, beliau berkata, penahanan V. Kumancan adalah hasil daripada laporan yang dibuat oleh guru besar selepas dia didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur ancaman di pejabat sekolah.

"Ini disaksikan oleh empat kakitangan pejabat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh pada Rabu.

Beliau berkata, kes lelaki tersebut boleh ditutup tidak lama lagi dan berharap Kumancan, 32, akan bekerjasama dengan polis.

Kumancan, yang mempunyai anak yang belajar di SK Seri Pristana, ditahan pada Isnin dan dibebaskan dengan ikat jamin polis pada hari yang sama.

Ikat jamin beliau berakhir pada 6 September.

Mengenai dakwaan polis menyoal pelajar-pelajar di sekolah, Junaidi mengakui bahawa pegawai polis melakukan "temubual" dengan para pelajar sebagai sebahagian daripada penyiasatan, dan tidak menyoal siasat seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan memandangkan ibu bapa mereka tiada ketika itu, pegawai tidak boleh mengganggu pelajar.

"Kami telah diberi kebenaran oleh guru besar untuk menemubual pelajar pada masa yang ditetapkan. Kami diberi 30 minit dan bercakap dengan mereka di dalam kelas dengan pelajar-pelajar lain yang turut hadir.

"Kami bercakap dengan lebih daripada enam pelajar, antara mereka diambil gambar di dalam bilik makan, dan lain-lain," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan