Pemilihan Umno: Siapa Di Barisan Naib Presiden Bakal Mencorak Masa Depan Parti

Diterbitkan: Selasa, 27 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Zahid, Hishammuddin dan Shafie akan mempertahankan kerusi Naib Presiden Umno pada pemilihan parti itu Oktober ini.
Zahid, Hishammuddin dan Shafie akan mempertahankan kerusi Naib Presiden Umno pada pemilihan parti itu Oktober ini.

SEMAKIN dekat dengan tarikh-tarikh penting menjelang pemilihan Umno 2013 pada September dan Oktober depan, semakin ramai pemimpin parti itu mula menyatakan pendirian masing-masing.

Menariknya, selain ramai menyuarakan minat untuk turut sama memasuki persaingan merebut jawatan tertentu, tidak kurang juga yang mengambil keputusan memberi laluan kepada muka-muka baru untuk berada dalam kelompok pembuat dasar parti.

Adat berorganisasi, pemimpin datang dan pergi. Sikap yang ditunjukkan beberapa 'otai' Umno untuk berundur atau tidak mahu bertanding mempertahankan kerusi Majlis Tertinggi (MT).

Sehingga kini, seramai enam ahli MT mengumumkan tidak akan bertanding. Mereka termasuklah ahli paling lama berkhidmat dalam MT iaitu sejak 1975 yang juga bekas Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz; Bendahari Umno, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman serta Ketua Umno Bahagian Jelebu, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Turut sama mahu melepas jawatan dalam MT Umno ialah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul kadir.

Di samping itu ada juga di kalangan Menteri Besar yang enggan bertanding misalnya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dari Johor.

Sebenarnya ramai di kalangan menteri besar yang merasakan mereka tidak perlu bersusah payah menawarkan diri untuk bertanding kerana pada akhirnya mereka akan sama ada dilantik atau dijemput untuk 'turut serta' dalam mesyuarat-mesyuarat MT.

Buat masa ini seramai 14 muka lama dalam senarai MT Umno sudah menyatakan kesediaan menawarkan diri semula.

Mereka ialah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar; Ketua Umno Bahagian Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob; Ketua Umno Bahagian Batu Pahat, Dr Mohd Puad Zarkashi; Ketua Umno Bahagian Pasir Salak, Datuk Tajudin Abdul Rahman; bekas Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah serta Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh.

Turut menawarkan diri untuk terus kekal dalam senarai MT ialah, Ketua Umno Bahagian Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim; Ahli Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim; Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; bekas Senator, Datuk Dr Norraesah Mohamad; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Zulhasnan Rafique.

Pada dasarnya, pendirian awal pemimpin-pemimpin ini menzahirkan formulasi yang digambarkan Najib mengenai kombinasi muka baharu dan lama dalam senarai kepimpinan tertinggi Umno untuk penggal akan datang.

Selain senarai muka lama yang akan mempertahankan jawatan mereka, empat muka baharu yang sehingga kini turut menawarkan diri untuk membarisi senarai MT Umno ialah Setiausaha Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang juga Menteri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesejahteraan Bandar; Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek dan Ketua Umno Bahagian Puchong, Datuk Satim Diman.

Pemilihan Umno kali ini yang dijadualkan berlangsung 19 Oktober akan datang, akan mencatat satu sejarah baru kerana buat pertama kalinya pemilihan kepimpinan pusat akan dilakukan oleh para perwakilan ke persidangan agung tahunan bahagian dan bukannya oleh sekadar 2,000 lebih perwakilan ke perhimpunan agung tahunan parti.

Adalah dianggarkan seramai 146,500 ahli parti di peringkat akar umbi dari 191 bahagian akan terlibat dalam membuat keputusan untuk menentukan kepimpinan parti di peringkat kebangsaan.

Pemilihan MT meliputi presiden, timbalan presiden, tiga naib presiden dan 25 anggota MT selain memilih anggota jawatankuasa bahagian.

Setakat ini ramai yang menyeru agar dua jawatan tertinggi iaitu presiden dan timbalan tidak dipertandingkan bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin meneruskan misi mereka memperkukuhkan parti.

Tetapi ini tidak bermakna menjelang 28 September nanti, apabila pendaftaran untuk siapa yang berhasrat mahu bertanding dibuka, tiada orang yang akan datang mendaftarkan diri untuk bertanding jawatan presiden dan timbalan.

Pemilihan kali ini unik kerana buat pertama kalinya juga konsep pencalonan tidak akan digunapakai lagi sebaliknya siapa yang berhasrat untuk bertanding (tetapi mestilah terlebih dahulu melepasi beberapa syarat minima yang ditetapkan) hanya perlu mendaftarkan diri termasuklah untuk jawatan presiden dan timbalan.

Jadi untuk membuat andaian yang tiada siapa yang akan masuk bertanding merebut jawatan presiden dan timbalan sebelum 28 September adalah tidak wajar.

Selain perebutan 25 kerusi MT yang dipertandingkan, kedudukan tiga kerusi naib presiden turut dijangka menyaksikan persaingan sengit.

Umum mengetahui ketiga-tiga penyandang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Shafie Afdal telahpun mengumumkan hasrat mereka untuk mempertahankan kedudukan masing-masing pada pemilihan kali ini.

Tetapi mereka juga sedar yang bukan mereka sahaja yang menawarkan diri.

Setakat ini, bekas menteri besar Negeri Sembilan yang juga bekas menteri Wilayah Persekutuan dan pernah juga menyandang jawatan naib presiden, Tan Sri Isa Samad turut mengisytiharkan hasratnya untuk bertanding.

Pengerusi Felda itu pernah memenangi jawatan naib bagi penggal 2004-2007 dengan memperoleh 1,507 undi iaitu undi tertinggi pada masa itu mengatasi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam (1,329 undi) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (1,234 undi) yang ketika itu adalah menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Bagaimanapun, Lembaga Disiplin Umno menggantung keanggotaannya selama tiga tahun iaitu dari 24 Jun 2005 hingga 23 Jun 2008 setelah mendapati beliau bersalah dalam politik wang pada pertandingan parti itu.

Dan bercakap tentang Ali Rustam ramai juga yang menjangkakan yang dia akan turut masuk gelanggang.

Malah ramai yang sebenarnya mahu Menteri Besar Kedah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir menawarkan diri bertanding jawatan naib. Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Musa Aman juga disebut-sebut akan masuk bertanding kerusi naib.

Bagaimanapun Musa dan Mukhriz masing-masing belum membuat pendirian muktamad mengenai desas-desus tersebut.

Menerusi senarai kepimpinan semasa, Musa merupakan ahli MT Umno.

Menariknya ialah sekiranya Musa mengesahkan untuk memperbaiki kedudukannya dalam senarai kepimpinan tertinggi Umno, ia bakal memeningkan kepala perwakilan ekoran dua pemimpin Sabah bersaing merebut salah satu daripada tiga kerusi naib.

Bagi Mukhriz pula, sekiranya beliau menawarkan diri bertanding merebut kedudukan berkenaan, ia bakal memberi saingan sengit kepada barisan senarai pemimpin senior yang mahu berada di posisi tersebut.

Kehadiran Mukhriz dilihat memberi pilihan yang lebih segar kepada perwakilan bagi mengisi salah satu kerusi naib.

Barang diingat, Khairy Jamaluddin telah pun mengisytiharkan keputusannya untuk mempertahankan jawatan ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia dan daripada kedudukan semasa, nampaknya seperti tidak ada pesaing yang serius dan benar-benar kuat yang dapat mencabar kedudukannya.

Atas kapasiti sebagai ketua pemuda, Khairy adalah juga bertaraf naib presiden.

Jika Mukhriz yang seangkatan dengan Khairy dalam hirarki kepimpinan masa depan Umno tidak menawarkan diri ke jawatan yang lebih utama sekarang, ini bermakna beliau akan ketinggalan dari segi kedudukan di belakang Khairy.

Oleh yang demikian, pemilihan kali ini adalah penting untuk pemimpin muda Umno seperti Khairy dan juga Mukhriz menentukan masa depan politik mereka dengan menempatkan diri dalam kedudukan hirarki semasa. Mungkin di peringkat ahli akar umbi, peremajaan dan transformasi politik dalam Umno akan lebih bermakna sekiranya hierarki tiga teratas kepimpinan Umno dapat diisi oleh seorang pemimpin muda.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan