Kementerian Akan Dapatkan Perintah Tetap Jagaan Ke Atas Dua Lagi Beradik Mangsa Dera - Rohani

Diterbitkan: Selasa, 27 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Rohani Abdul Karim
Rohani Abdul Karim

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan berusaha untuk mendapatkan perintah tetap jagaan ke atas dua orang beradik kepada mangsa dera yang meninggal dunia pada Ahad.

Menterinya, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, perintah berkenaan akan dibuat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 terhadap abang dan adik mangsa, masing-masing berumur lapan dan dua tahun dalam waktu terdekat.

"Pada masa ini, kita meletakkan kedua-dua beradik itu di bawah perlindungan sementara di bawah JKM.

"Tempoh sebulan akan diberikan kepada ahli keluarga kanak-kanak tersebut untuk menuntut hak jagaan dan jika gagal menerima maklum balas, kita akan terus mendapatkan perintah tetap," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Jelajah Pengarah Wanita anjuran Institut Pengupayaan Wanita Bagi Anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NIEW) di sini, Isnin.

Kanak-kanak berumur lima tahun itu meninggal dunia selepas koma selama 11 hari di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Ahad.

Rohani berkata, beliau meluahkan kesedihan di atas kejadian yang menimpa ke atas kanak-kanak malang itu.

"Kanak-kanak sepatutnya di bawah tanggungjawab ibu bapa dengan memberikan mereka perlindungan.

"Sekarang bukan koma lagi tetapi sudah jadi kes kematian. Oleh itu, saya menyeru pihak berkuasa seperti polis supaya mengambil tegas terhadap kes ini supaya ia memberi contoh (pengajaran) kepada ibu bapa lain," katanya.

Ibu kanak-kanak itu, Choong Mee Chin, 30, dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan itu dan tidak mengaku bersalah pada 20 Ogos lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Mee Chin didakwa melakukan penganiayaan ke atas anaknya itu dengan memukul kepala dan seluruh badannya menggunakan sebatang tongkat dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah ke atas mangsa di ruang tamu rumah.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan