Setiausaha Pertahanan AS Akhiri Lawatan Ke Malaysia

Diterbitkan: Isnin, 26 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Chuck Hagel berlepas ke Jakarta, Indonesia pada Isnin, selepas menamatkan lawatan tiga hari ke negara ini.

Pesawat yang membawa Hagel dan anggota delegasinya berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Subang, di sini pada pukul 10.10 pagi.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri berada di Subang untuk mengucapkan selamat jalan.

Hagel yang dalam program lawatan ke empat negara Asia Tenggara akan ke Jakarta untuk lawatan dua hari (26-27 Ogos) dan dari Indonesia, beliau akan ke Brunei Darussalam pada pada 27 hingga 29 September untuk menghadiri perhimpunan menteri-menteri pertahanan Asean dan negara serantau lain termasuk China dan India.

Beliau akan menamatkan lawatan ke Asia Tenggara di Manila, Filipina pada 29 Ogos sebelum kembali ke Washington pada 30 Ogos.

Pada Ahad, Hagel mengadakan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hagel juga mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagi membincangkan usaha meningkatkan lagi hubungan multilateral antara kedua-dua negara terutama kerjasama dalam bidang keselamatan.

Hagel mengangkat sumpah sebagai Setiausaha Pertahanan AS ke-24 pada 27 Februari lepas dan merupakan veteran tentera tempur pertama mengetuai jabatan itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan