Pakej Insentif Kepada Koperasi Perlu Dikaji Semula - Muhyiddin

Diterbitkan: Sabtu, 24 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JITRA: Pakej Insentif kepada sektor koperasi di negara ini perlu dikaji semula supaya selaras dengan agenda transformasi negara dalam melonjakkan lagi sumbangan sektor itu kepada pertumbuhan ekonomi negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan mengutamakan kajian semula pakej insentif tersebut bagi memastikan koperasi terus diberikan peluang saksama untuk menceburi pelbagai bidang perniagaan yang baharu serta meningkatkan rantaian sedia ada.

Katanya ini bertujuan memastikan gerakan koperasi turut sama menyumbang kepada agenda transformasi negara.

"Saya berpendapat sudah sampai masanya untuk Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mengkaji semula pakej insentif yang ditawarkan kepada sektor koperasi," katanya pada majlis perasmian Hari Koperasi Negara 2013 di Dataran Darul Aman, Bandar Darul Aman di sini Sabtu.

Katanya hari ini koperasi memainkan peranan utama sebagai penjana pertumbuhan ekonomi, entiti perniagaan yang kompetitif, organisasi bantu diri yang efektif serta peka dan proaktif terhadap persekitaran.

Muhyiddin berkata untuk itu kepimpinan koperasi perlu membuat anjakan dan perubahan dalam mengurus dan mentadbir koperasi.

"Hasrat untuk menjadikan sektor koperasi sebagai penyumbang berkesan kepada pembangunan ekonomi negara memerlukan penggemblengan usaha daripada pelbagai pihak, termasuk koperasi, sebagai teraju utama dalam sektor ini. Kerajaan sentiasa menyokong pembangunan dan pemakmuran gerakan koperasi negara.

"Terkini, kerajaan bersetuju mengurangkan kadar cukai maksimum koperasi daripada 26 peratus kepada 25 peratus berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2013. Lebihan perolehan yang dijana oleh koperasi akan dapat digunakan untuk memperluas aktiviti perniagaan koperasi dan seterusnya meningkatkan perolehan gerakan koperasi," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau juga berpendapat sudah sampai masanya Maktab Koperasi Malaysia (MKM) yang kini berusia 57 tahun, menjadi pusat kecemerlangan koperasi.

"Dalam usaha mencapai objektif ini, saya menyeru SKM dan MKM membuat kajian terperinci tentang kemungkinan untuk menaik taraf maktab ini supaya setanding kolej universiti.

"Ini penting dilaksanakan agar gerakan koperasi di negara kita setanding dengan koperasi-koperasi yang berjaya di negara-negara lain. Saya percaya MKM boleh memain peranannya dengan lebih berkesan untuk membangunkan kapasiti modal insan dalam meningkatkan kompetensi gerakan koperasi negara," katanya.

Muhyiddin berkata beliau yakin gerakan koperasi di negara ini berupaya menjadi pemacu kepada gerakan koperasi di rantau Asean dalam usaha mengintegrasikan ekonomi melalui gagasan Komuniti Ekonomi Asean (AEC) menjelang 2015.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM55.58 bagi melaksanakan projek merobohkan dan membina semula kompleks Pekan Rabu, yang merupakan antara pusat perniagaan dan ekonomi utama di bandar raya Alor Setar.

"Projek ini adalah manifestasi kerajaan untuk meningkatkan status koperasi dan aktiviti perniagaan yang diterajui koperasi supaya setaraf dengan kegiatan ekonomi syarikat-syarikat perniagaan lain," katanya.

Hadir sama pada majlis isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, Menteri Besar Perlis Azlan Man, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek dan Timbalan Menterinya Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.

Hari Koperasi Negara merupakan acara tahunan gerakan koperasi sejak 2002, yang kebiasaannya disambut pada Julai.

Sambutan dua itu bertemakan Koperasi Pemangkin Kesejahteraan Masyarakat. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan