10 Mangsa Nahas Bas Di Hospital Selayang, Sungai Buloh Stabil

Diterbitkan: Sabtu, 24 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lapan mangsa yang dirawat di Hospital Selayang selepas terlibat dalam kemalangan bas di Genting Highlands Rabu lepas, dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Pengarah Hospital Selayang Dr Siti Zaleha Mohd Salleh berkata semua mereka iaitu tiga rakyat tempatan, tiga warga Bangladesh dan dua Indonesia, beransur pulih dan ada dalam kalangan mereka dijangka dibenarkan pulang dalam masa terdekat.

"Ada yang ditempatkan di wad ortopedik dan wad surgikal mengikut kecederaan dan keperluan rawatan masing-masing.

"Setakat malam tadi (Jumaat), kesemua mangsa masih dirawat di hospital ini walaupun kita diberitahu ada antara warga asing berkenaan mahu dipindahkan ke hospital swasta," katanya.

Pada hari kejadian, tiga dimasukkan ke hospital itu dalam keadaan kritikal manakala lima lagi separa kritikal.

Bagaimanapun, usaha untuk menemu bual mangsa tidak berhasil.

Nahas bas yang terhumban ke dalam gaung sedalam 60 meter di Km3.5 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur itu meragut 37 nyawa termasuk pemandu manakala 16 lagi cedera.

Sementara itu, jurucakap Hospital Sungai Buloh yang dihubungi berkata warga Korea Selatan, Kang Byoung Kuk, 60, yang sebelum ini dimasukkan ke Unit Kecemasan (ICU) dan tidak sedarkan diri, kini telah dipindahkan ke wad biasa.

Mangsa mengalami kecederaan teruk di kaki, muka dan tangan dalam kemalangan itu, kata jurucakap itu.

Seorang lagi mangsa yang dirawat di hospital berkenaan, Nur Maizatul Ahmad Sharuddin, 23, juga dilaporkan stabil.

"Kemungkinan dia dibedah minggu depan akibat patah di bahagian tulang punggung, betis dan paha," kata abangnya Nor Fazli Sahazmi Ahmad Sharuddin, 26, ketika dihubungi. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan