Puspakom Komited Bantu Pasukan Menyiasat Nahas Bas

Diterbitkan: Jumaat, 23 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) komited menyalurkan semua maklumat mengenai bas yang terbabit dalam kemalangan di KM3.5 Jalan Genting Highlands yang meragut 37 nyawa Isnin lepas, namun hanya kepada pasukan penyiasat yang ditubuhkan bagi menyiasat nahas itu.

Ketua Pegawai Operasi Perkhidmatan dan Harta DRB-Hicom Datuk Mohamed Razeek Md Hussain berkata pihaknya menyalurkan maklumat yang ada pada mereka hanya kepada agensi yang menganggotai pasukan yang diterajui Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sahaja.

Beliau berkata pasukan inilah yang akan membuat sebarang kenyataan kepada media mengenai segala yang berkaitan dengan nahas itu apabila tiba masanya.

"Saya pasti semua pihak ingin tahu mengenai perkara ini (punca nahas), tapi kita perlu hormati pasukan penyiasat itu," katanya dalam persidangan media selepas menandatangani dokumen perjanjian bagi perkhidmatan Pengujian Pelepasan Asap Kenderaan Berenjin Diesel antara JAS dan Puspakom Sdn Bhd di sini, Jumaat.

Dalam kejadian dua hari lepas, 37 orang termasuk pemandu bas terbunuh apabila bas yang dinaiki 53 orang itu terjunam 60 meter ke dalam gaung ketika menuruni jalan curam dari puncak Genting Highlands menuju ke ibu negara.

Pada Khamis, pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata agensi di bawah Kementerian Pengangkutan akan menjalankan siasatan masing-masing bagi mengenal pasti punca nahas dan laporan siasatan akan dihantar kepada panel inkuiri diketuai SPAD.

Puspakom adalah anak syarikat milik penuh DRB-Hicom Bhd, yang juga pemegang konsesi tunggal untuk pemeriksaan kenderaan komersil di dalam negara.

Mohamed Razeek berkata sebarang maklumat berkaitan insiden itu tidak seharusnya disebar begitu sahaja, kerana siasatan sedang dijalankan oleh pihak yang diamanahkan. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan