PM Singapura Ucap Takziah Atas Kemalangan Di Genting Highlands

Diterbitkan: Jumaat, 23 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SINGAPURA: Perdana Menteri, Lee Hsien Loong mengucapkan takziah kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak atas kemalangan tragik bas di Genting Highlands Rabu lepas.

Dalam surat ucapan takziah yang dihantar kepada Najib, Lee berkata, beliau amat sedih apabila mendengar mengenai kemalangan tragik itu.

"Adalah sesuatu yang malang apabila perjalanan untuk beriadah berakhir dengan kehilangan banyak nyawa.

"Bagi pihak kerajaan dan rakyat Singapura, saya merakamkan setinggi takziah kepada anda, keluarga mangsa dan rakyat Malaysia atas kehilangan besar itu. Saya harap mereka yang cedera akan cepat sembuh. Ingatan kami bersama anda dan rakyat anda dalam keadaan sedih ini," katanya dalam surat yang dikeluarkan Kementerian Luar.

Rabu lepas, sebuah bas yang membawa 53 orang termasuk pemandu terjunam 60 meter ke dalam gaung semasa menuruni jalan curam dari puncak pusat peranginan Genting Highlands ke ibu negara.

Kemalangan di Km3.5 Jalan Genting Highlands itu meragut 37 nyawa termasuk pemandu bas, yang terburuk di Malaysia sejak 17 tahun lepas. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan