JAIP Pantau Fahaman Syiah di Pahang

Diterbitkan: Jumaat, 23 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) melakukan pemantauan sepenuhnya terhadap sebarang kegiatan dan aktiviti berkaitan dengan fahaman Syiah.

Pengarahnya Datuk Mohammad Roslan Harun berkata pemantauan itu dibuat secara menyeluruh di seluruh negeri termasuk kawasan Felda dan institusi pengajian tinggi di negeri itu.

"Setakat ini, jabatan tidak menerima sebarang laporan berhubung penularan fahaman Syiah," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan terdapat individu di negeri itu yang mengamalkan fahaman Syiah.

"Mereka yang mengamalkan fahaman Syiah ini mungkin mengamalkan ibadat seperti solat sebagaimana yang dilakukan umat Islam lain, ini menyukarkan pihak jabatan mengesan mereka,"katanya. Beliau berkata Jaip juga menggunakan pelbagai kaedah dan pendekatan menerusi Bahagian Penyelidikan Jaip selain maklumat yang disalurkan orang ramai.

Roslan berkata fahaman syiah difatwakan haram dan sesat di negeri itu.

Justeru, beliau berharap orang ramai khususnya umat Islam akan lebih berhati-hati terhadap penyebaran ajaran syiah itu. "Usaha menyedarkan orang ramai berhubung ajaran Syiah turut diselitkan dalam khutbah Jumaat di Pahang," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan