Nahas Bas di Genting Highlands: Tindakan Tegas Akan Diambil - SPAD

Diterbitkan: Khamis, 22 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata tindakan susulan dan tegas akan diambil terhadap pihak bertanggungjawab yang menyebabkan kematian 37 orang dalam kemalangan bas di jalan Genting Highlands.

Beliau berkata tindakan akan dikenakan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 sekiranya terdapat bukti pelanggaran akta itu.

"SPAD memandang serius tragedi kemalangan dan menyokong cadangan Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) untuk menubuhkan jawatankuasa penyiasatan khas bagi menyiasat secara terperinci punca kemalangan itu," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Syed Hamid berkata SPAD akan berkerjasama dengan semua agensi berkaitan untuk mengenal pasti punca kemalangan dan langkah pencegahan supaya tragedi sedemikian dapat dielak pada masa hadapan.

Selain itu, tumpuan lebih khusus akan diberikan kepada audit keselamatan terhadap pengendali bas henti-henti dan ekspres, katanya.

Kemalangan di Km3.5 Jalan Genting Highlands itu meragut 37 nyawa termasuk pemandu bas apabila bas yang dinaiki 53 orang itu terjunam 60 meter ke dalam gaung semasa menuruni jalan curam dari puncak pusat peranginan itu ke ibu negara.

Syed Hamid turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam nahas itu.

Sementara itu anggota Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye meminta mereka yang terlibat dalam industri pengangkutan agar menunjukkan keazaman dan kesungguhan untuk menghentikan 'kematian beramai-ramai' di jalan raya di negara ini.

Beliau berkata beberapa isu asas perlu dikaji seperti sama ada pemandu bas mempunyai bebanan kerja yang lebih dan upah yang kurang atau perlu mengambil dadah untuk membuat lebih banyak perjalanan bagi memperoleh pendapatan yang lebih untuk kehidupan mereka.

"Adakah semua bas sentiasa diperiksa dan diselenggara bagi memastikan mereka selamat untuk diguna di jalan raya. Adakah pihak berkuasa berkaitan yakin bahawa pemeriksanan bas dijalankan dengan sebaiknya," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

"Kita perlu belajar daripada tragedi lepas dan laksanakan cadangan yang dibuat untuk mencegah tragedi pada masa hadapan. Kita mesti memberi jaminan kepada pelancong asing bahawa sistem pengangkutan awam dan jalan raya kita selamat," katanya.

Setiausaha Agung Gerakan Datuk Mah Siew Keong dalam kenyataan hari ini berkata kerajaan mesti tegas dengan pengusaha bas yang kerap melanggar undang-undang dan peraturan.

Mah juga berkata laporan siasatan awal menyatakan bahawa bas itu membawa muatan melebihi had dan sekali lagi ini menimbulkan pertanyaan terhadap aspek penguatkuasaan.

"Pengusaha bas (jika melanggar undang-undang) perlu didakwa kerana membahayakan nyawa penumpang," katanya.

Dalam pada itu, Anggota Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw ketika ditemui di Hospital Selayang semasa melawat mangsa yang cedera dalam kemalangan itu, berkata beliau enggan menunding jari kepada sesiapa namun kejadian itu perlu disiasat dengan terperinci. -BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan