Ekonomi Malaysia Tetap Berkembang Ketika Ekonomi Dunia Tidak Menentu - Najib

Diterbitkan: Khamis, 22 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya mencatat peningkatan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.3 peratus ketika keadaan ekonomi dunia tidak menentu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya pelbagai usaha akan terus dipergiatkan untuk memastikan ekonomi negara berada dalam keadaan stabil dan seimbang untuk mencapai tahap negara berpendapatan tinggi.

"Saya percaya kita mampu melakukannya dengan usaha sama semua pihak," kata Najib dalam makluman terkini menerusi Facebooknya bagi mengulas angka KDNK terkini negara. "Walaupun dalam kedudukan ekonomi dunia yang tidak menentu, kita berjaya mencapai perkembangan KDNK sebanyak itu," kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Semalam, Bank Negara Malaysia mengumumkan ekonomi negara berkembang 4.3 peratus pada suku kedua tahun ini berbanding 4.1 peratus pada suku pertama, dengan permintaan domestik yang kukuh terus menyokong pertumbuhan di celah-celah permintaan luar yang lemah.

Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata walaupun permintaan domestik terus kukuh, prestasi pertumbuhan keseluruhan terjejas oleh permintaan luar yang lemah.

"Permintaan domestik terus kukuh, naik 7.3 peratus, sementara eksport mencatatkan kemerosotan yang lebih tinggi dengan kelembapan bagi kebanyakan produk eksport," katanya pada sidang media ketika mengumumkan angka KDNK. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan