Buat Pertama Kali Penerbangan Haji Terus Dari Alor Setar Ke Madinah

Diterbitkan: Rabu, 21 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tabung Haji buat pertama kalinya menyediakan perkhidmatan penerbangan terus jemaah haji dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Alor Setar ke Madinah bermula 9 September depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Yang di-Pertuan Agong Tunku Abdul Halim Mu'adzam Shah dijangka berangkat menyempurnakan majlis pelepasan jemaah kumpulan pertama jemaah haji yang akan berlepas dari Alor Setar.

"Sebelum ini, penerbangan dulu (dari Alor Setar) ke Kuala Lumpur, buat pertukaran penerbangan sebelum terbang ke Jeddah atau Madinah.

"Untuk pertama kali dalam sejarah kita akan terbang pada 9 haribulan (dari Alor Setar) dan Agong berkenan melepaskan jemaah haji," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian pameran haji dan fotografi Al Hajj: Pengalaman Malaysia sempena sambutan jubli emas Lembaga Tabung Haji di Muzium Kesenian Islam di sini Selasa.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ketua Pengarah Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Lembaga Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail.

Jamil Khir berkata, sebanyak tiga penerbangan akan berlepas terus dari Alor Setar ke Madinah pada musim haji kali ini melibatkan lebih 1,000 jemaah haji menggunakan pesawat penerbangan Malaysia (MAS) B777.

Kedah adalah negeri ketujuh yang menyediakan perkhidmatan penerbangan terus jemaah haji ke Jeddah atau Madinah selepas Terengganu, Pulau Pinang, Johor, Sabah, Sarawak dan Kuala Lumpur.

Sementara itu, Jamil Khir berkata selain penerbangan terus, Kompleks Haji Alor Setar juga akan beroperasi untuk urusan operasi dan penerbangan haji semasa musim haji secara terus ke Jeddah dan Madinah tanpa perlu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

"Ini adalah kejayaan berganda di Alor Setar kerana selain penerbangan terus, bangunan hotel Tabung Haji yang terletak bersebelahan lapangan terbang akan beroperasi di mana jemaah haji akan berkumpul sebelum berlepas," katanya.

Kompleks bernilai RM86 juta itu terletak di lokasi sangat strategik iaitu lebih kurang satu kilometer (km) dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas dekat sini dan 10km dari Bandaraya Alor Setar.

Kompleks yang menyediakan kemudahan hotel bertaraf empat bintang dengan kadar bayaran tiga bintang ini akan dapat menjana pendapatan untuk Tabung Haji melalui sektor pelancongan dan hospitaliti.

Pameran haji dan fotografi diadakan selama tiga bulan bermula hari ini memaparkan kejayaan Tabung Haji dari segi pengalaman yang diperoleh sepanjang 50 tahun penubuhannya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan