Wanita Perlu Rebut Peluang Dan Ambil Risiko Untuk Berjaya - Muhyiddin

Diterbitkan: Selasa, 20 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Karim (kiri) ketika sesi soal jawab bersama delegasi di Sidang Kemuncak Wanita 2013 di Pusat Konvesyen Sime Darby, Selasa. -fotoBERNAMA
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Karim (kiri) ketika sesi soal jawab bersama delegasi di Sidang Kemuncak Wanita 2013 di Pusat Konvesyen Sime Darby, Selasa. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Golongan wanita di negara ini perlu merebut peluang sedia ada serta berani menghadapi cabaran dan risiko untuk membina kejayaan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata kerajaan telah menyediakan banyak inisiatif yang memberi tumpuan kepada memperkasakan wanita dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, keusahawanan dan pembangunan keluarga.

"Pepatah Melayu ada menyebut 'dayung sudah di tangan, perahu sudah di air'. Setiap wanita perlu mempunyai pengetahuan, mempertajamkan kemahiran bagi menilai dan menggunakan pengetahuan yang telah disediakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak Wanita 2013 anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di sini, Selasa.

Turut hadir isteri beliau Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim dan Ketua Setiausaha KPWKM Datuk Seri Dr Noorul Ainur Mohd Nur.

Muhyiddin berkata usaha berterusan memperkasakan wanita dalam pelbagai bidang merupakan tumpuan khas kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (2011-2015) termasuk meningkatkan penyertaan wanita dalam pekerjaan kepada 55 peratus pada 2015.

Menurut KPWKM, hanya 49 peratus golongan wanita dalam bidang pekerjaan pada masa ini.

Menyedari sebab utama wanita meninggalkan pekerjaan adalah kerana mahu menumpu perhatian kepada keluarga, Muhyiddin berkata kerajaan telah mengambil langkah memperuntukkan RM15 juta sebagai insentif untuk menggalakkan pembukaan lebih banyak taska berkualiti di tempat kerja.

Waktu Bekerja Berperingkat juga telah dilaksanakan di agensi-agensi kerajaan sejak 2007 bagi memenuhi keperluan wanita terhadap pengaturan kerja fleksibel, katanya.

Mengenai penglibatan wanita dalam bidang keusahawanan, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata program 'Get Malaysian Business Online' yang diperkenalkan telah menerima 1,750 permohonan tahun ini dengan 952 atau 54.4 peratus daripadanya usahawan wanita.

Mengenai sidang kemuncak ke-11 bertema 'Forging Your Own Path' itu, Timbalan Perdana Menteri berkata tema tersebut merupakan mesej jelas kerajaan kepada semua wanita di Malaysia bahawa amat penting untuk mereka membangun dan maju dengan cara mereka sendiri.

"Selama berdekad kita menyaksikan evolusi peranan dan sumbangan wanita dalam masyarakat, yang kini melangkaui tugas di rumah. Sekarang adalah masa untuk terus maju ke hadapan dan meneroka bidang baharu.

"Kami komited memastikan wanita di Malaysia diberi peluang terbaik dalam semua bidang, namun jika anda tidak memanfaatkan peluang itu maka tidak ada gunanya," kata beliau.

Muhyiddin berkata persekitaran yang kondusif untuk wanita terus maju dalam bidang yang diceburi bukan lagi isu utama, tetapi yang penting keinginan dan semangat mereka sendiri untuk menentukan landasan kejayaan yang ingin dicapai.

Persidangan itu mengumpulkan 1,200 peserta yang mendengar pengalaman daripada penceramah tempatan dan antarabangsa. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan