Shahrizat Tidak Gentar Hadapi Isu NFC Pada Pemilihan Umno

Diterbitkan: Selasa, 20 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil tidak gentar untuk berdepan isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) membabitkan suaminya pada pertandingan merebut jawatan tertinggi Pergerakan Wanita Umno Oktober ini.

Ketua Wanita Umno itu tidak menolak isu itu akan dimainkan oleh pihak-pihak yang tidak menyokongnya, dan menegaskan beliau tidak gentar dengan perkara itu.

"Yang hendak bertanding adalah saya, Shahrizat Abdul Jalil dan bukannya suami saya (pengerusi eksekutif NFC Datuk Dr) Mohamad Salleh Ismail.

"Suami saya walaupun menghadapi pelbagai tohmahan dan fitnah, beliau tidak dijatuhkan apa-apa hukuman...kita kena ingat dalam dunia ni termasuk Malaysia seseorang itu tidak dianggap bersalah sebelum hukuman dijatuhi," katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat pemilihan Wanita Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Isnin.

"Saya tak tahu ia (isu NFC) menjejaskan atau tidak (peluang untuk menang). Pada saya isu ini dah dua tahun dimainkan pembangkang, dan tak ada apa yang Wanita (Umno )tidak tahu. Mereka dah dengar semua, pada saya pilihlah sesiapa yang mereka mahu," katanya.

Beliau sekali lagi mengulangi keterbukaannya mengenai sesiapa juga yang ingin mencabar jawatan Ketua Pergerakan Wanita.

Sebelum ini, hanya bekas Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Azalina Othman Said yang menyuarakan hasrat bertanding jawatan Ketua Pergerakan Wanita yang dimenangi Shahrizat pada pemilihan 2009.

Shahrizat juga menyeru anggota Wanita Umno agar bertanding dan memilih kepimpinan sayap itu secara berhemah dan dalam suasana kekeluargaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali mengharapkan kerjasama penuh daripada anggota parti bagi memastikan pemilihan yang menggunakan kaedah dan peraturan baharu itu berjalan lancar.

"Kejayaan kita menjayakan proses ini dengan sempurna adalah testimoni kepada hasrat kita untuk menjadikan amalan demokrasi dalam Umno terus subur dan menjadikan Umno terus relevan dan perkasa". BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan