Isa Samad Sah Tanding Naib Presiden Umno

Diterbitkan: Selasa, 20 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Mohd Isa
Mohd Isa

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jempol, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad pada Selasa mengesahkan akan merebut jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti Oktober ini.

Beliau berkata, keputusan tersebut diharap mendapat sokongan daripada anggota Umno dalam meneruskan sumbangan bagi memantapkan parti terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Apa yang saya miliki terutamanya dari segi pengalaman dan kebolehan dapat membantu mengurus parti untuk menghadapi PRU-14.

"Sebagai orang lama, memang saya ada sedikit sebanyak pengalaman. Kalau boleh saya bantu pucuk pimpinan parti apabila berada di mainstream ini amat penting kerana semua berhasrat mengukuhkan parti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan krim mandian Purich, keluaran Delima Oil Products Sdn Bhd iaitu anak syarikat Felda Global Ventures Holdings Berhad (FVGH) di Dewan Merak Kayangan, Balai Felda di sini Selasa.

Mohd Isa yang juga Ketua Umno Bahagian Telok Kemang menegaskan beliau tidak gentar mencabar penyandang jawatan tersebut kerana masing-masing menpunyai kelebihan sendiri.

"Ia bukan satu masalah besar. Saya rasa saya mempunyai pengalaman secukupnya malah berwarna-warni," selorohnya.

Beliau pernah memenangi jawatan itu bagi penggal 2004-2007 dengan memperoleh 1,507 undi mengatasi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam (1,329 undi) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin (1,234 undi).

Pengumuman itu sekali gus menamatkan spekulasi bahawa beliau akan mencabar Muhyiddin bagi jawatan Timbalan Presiden Umno.

Ketika ditanya sama ada beliau akan memberi laluan kepada calon generasi muda sebagai salah satu usaha untuk meremajakan parti, Mohd Isa berkata penglibatan golangan itu amat penting tetapi orang lama juga masih diperlukan dalam parti.

"Kita tidak boleh membiarkan parti kepada generasi muda sahaja. Tidak boleh...mesti ada kombinasi kedua-duanya. Ini yang diamalkan dalam Umno lebih 50 tahun lalu.

"Jika anda lihat sejarah, semua generasi muda dan orang lama bekerjasama dan berkhidmat kepada parti," katanya.

Sementara itu, Mohd Isa berkata beliau tidak meletakkan sebarang sasaran untuk memenangi jawatan itu, sebaliknya menyerahkan kepada kira-kira 150,000 perwakilan daripada 191 bahagian di seluruh negara untuk membuat pertimbangan.

"Saya serah kepada perwakilan untuk buat pertimbangan sama ada saya sesuai atau tidak. Kalau difikirkan saya sesuai, mereka pilih saya. Kalau tak sesuai, saya tiada masalah dengan itu, " katanya.

Jawatan Naib Presiden Umno bakal menyaksikan persaingan sengit apabila tiga penyandangnya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan akan mempertahankan jawatan mereka.

Selain itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Mohd Ali Rustam turut dikatakan berhasrat untuk merebut jawatan itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan