Shahrir Tidak Bertanding Jawatan MT, Tumpu Kawasan Parlimen

Diterbitkan: Ahad, 18 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Ketua Umno Bahagian Johor Baharu Tan Sri Shahrir Abdul Samad tidak berhasrat bertanding jawatan anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno pada pemilihan parti Oktober ini.

Anggota Parlimen Johor Baharu itu berkata keputusan itu dibuat bagi membolehkan beliau memberi tumpuan kepada kawasan Parlimen yang diwakilinya.

"Saya tidak ada menyimpan cita-cita untuk bertanding MT pada pemilihan kali ini kerana saya sibuk sebelah sini (kawasan Parlimen Johor Baharu). Saya rasa ramai lagi pemimpin peringkat pusat yang berwibawa mempunyai idea baharu dan lebih bertenaga bagi menerajui politik peringkat nasional," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Johor Baharu di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Baharu di sini, Ahad.

Pada masa yang sama beliau meminta mereka yang menawarkan diri untuk bertanding tidak berdendam sesama sendiri sama ada menang atau kalah.

"Dalam pertandingan, asasnya bukan kita mengukur diri sendiri tetapi mereka yang ramai mengukur diri kita," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan