Sarawak Sahkan Dua Kematian Akibat 'Superbug' CRE

Diterbitkan: Jumaat, 16 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Jabatan Kesihatan Sarawak mengesahkan dua daripada 10 kematian yang dilapor di Hospital Sibu sepanjang lapan bulan tahun ini disebabkan jangkitan 'superbug' 'Carbapenem-Resistant Enterobacteriaceae' (CRE).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh berkata empat kes CRE masih dirawat di hospital termasuk seorang pesakit yang ditempatkan di unit rawatan rapi akibat kegagalan buah pinggang berfungsi. "Tidak ada unsur hendak sembunyikan kes seperti yang didakwa pembangkang yang sepatutnya menyemak dengan hospital, terutama berhubung kes berjangkit seperti ini yang bukan sahaja berlaku di Hospital Sibu tetapi juga hospital lain di seluruh negara malah di dunia.

"Justeru tidak ada sebab untuk berasa cemas," katanya pada sidang media di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Muda Kesihatan Awam Dr Jerip Susil dan Pengarah Kesihatan negeri Dr Zulkifli Jantan.

Wong berkata setakat Rabu lepas, sebanyak 38 kes dilapor termasuk 31 yang disahkan positif dengan nisbah pesakit lelaki dan wanita pada 1:1.4, dan kebanyakannya berusia 40 tahun ke atas.

Katanya berdasarkan pemantauan di hospital, kes meningkat sejak Mac lepas dan melonjak dengan pantas pada Mei dengan kes pertama dikesan pada 2011.

Siasatan menunjukkan kes hanya dikesan di dua buah wad di hospital itu, kata Wong dan menambah jangkitan berlaku kerana pengambilan berlebihan antibiotik carbapenem yang menyebabkan mangli bakteria.

Sementara itu Dr Zulkifli berkata dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, Sarawak mencatatkan 14 kematian akibat leptospirosis atau jangkitan air kencing tikus daripada 220 kes yang dilapor.

Tahun lepas empat kematian daripada 182 kes keseluruhan, katanya menambah kebanyakan mangsa adalah petani dan pekerja ladang, namun ada juga kes membabitkan suri rumah terutama dari kawasan pedalaman.

Miri dan Kuching masing-masing mencatatkan tiga kematian, manakala Sarikei dan Bintulu pula dua kes masing-masing dan satu kematian dilapor di Samarahan, Mukah, Sibu dan Kapit. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan