Felda Contoh Terbaik Transformasi - PM

Diterbitkan: Jumaat, 16 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PENDANG: Kejayaan yang dicipta Felda sejak penubuhannya 57 tahun lepas adalah contoh terbaik proses transformasi yang boleh menjadi kenyataan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata transformasi yang berlaku di Felda melibatkan pelbagai dimensi iaitu transformasi pada peringkat individu dan keluarga, taraf dan corak kehidupan, fizikal dan minda serta organisasi.

"Kebahagiaan dalam komuniti Felda seluruh negara boleh dianggap sebagai transformasi berjaya dalam lipatan sejarah. Sebelum masuk (Felda), selepas masuk..dan kini keadaannya di Felda, sudah berlaku transformasi ketara...dan dapat kecapi corak hidup yang lebih baik," katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Peneroka Kebangsaan, Pelancaran Pelan Integriti Felda dan Majlis Hari Raya di Felda Sungai Tiang di sini, Jumaat.

Katanya organisasi Felda itu sendiri mengalami transformasi daripada sebuah agensi pembangunan tanah yang menumpu pada pembangunan fizikal dan pembangunan tanah kepada sebuah perbadanan multinasional antarabangsa.

"Felda pada hari ini boleh dianggap sebagai sebuah perbadanan multinasional di peringkat antarabangsa yang boleh dibanggakan. Daripada soal jalan dan parit...kepada pelaburan kilang di Kanada, hotel dan restoran di Makkah, hatta mencipta sejarah...penyenaraian Felda Global Ventures (FGV) adalah kedua terbesar selepas Facebook," katanya.

Bagaimanapun, Najib kecewa kerana ada pihak yang cuba mencemarkan nama baik Felda dengan dakwaan seperti Felda sudah bankrap dan menipu peneroka.

"Semua ini sudah terjawab. Apakah sebuah badan yang bankrap boleh senaraikan Felda Global Ventures (di Bursa Malaysia) yang kedua terbesar ketika itu. Segala tuduhan terjawab bila masyarakat Felda beri sokongan padu kepada Barisan Nasional (BN) dalam PRU (pilihan raya umum) lepas," katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata pada ketika ini beliau mahu melihat transformasi yang menjangkau soal pembangunan fizikal iaitu transformasi minda.

"Kemuncak apabila kita dapat mengubah cara kita berfikir, menjadikan kita manusia dan insan yang tahu membuat penilaian...tahu antara hak dan batil...tahu buat penilaian...mana yang benar, mana fitnah. "Transformasi boleh dibawa, lakukan bersungguh-sungguh supaya keadaan kita jadi lebih baik...dan falsafah mengadakan pertandingan supaya masyarakat Felda merasakan mereka boleh melakukan lebih banyak lagi untuk mencipta masa depan yang lebih cemerlang," katanya.

Najib berkata kerajaan tidak akan menghentikan pembaharuan Felda setakat ini sahaja dan akan membuat banyak lagi pelaburan yang menguntungkan dan keuntungan itu akan dipulangkan semula kepada masyarakat.

Pada sidang media selepas itu, Perdana Menteri berkata kerajaan dan pengurusan Felda perlu mencari pelaburan yang akan memberi pulangan yang lumayan atau baik kepada Felda dalam jangka sederhana dan panjang.

"Ini supaya keuntungan yang kita dapat, sebahagian akan digunakan untuk pelaburan semula dan baharu, dan sebahagian lagi digunakan untuk memberi faedah dalam bentuk dividen dan pemberian sosio ekonomi. "Kita ada banyak idea tetapi pada masa sekarang kita tumpu pengukuhan dana Felda dalam jangka panjang berikutan penyenaraian FGV. Kita ada dana yag agak besar yang mesti digunakan dengan penuh hemah untuk jadikan Felda sebagai satu organisasi berjaya dan memberi dividen yang semakin tinggi serta pemberian program sosioekonomi kepada peneroka dan bukan peneroka juga," katanya.

Mengenai Pelan Integriti Felda, Najib berkata pelan integriti itu dapat mengelakkan sebarang penyelewengan dan salah guna kuasa, yang akan menjadikan Felda lebih berjaya dan nama Felda lebih disanjungi dunia antarabangsa.

Turut hadir pada majlis itu ialah isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Pengerusi Felda Tan Sri Isa Abdul Samad. -BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan