1,000 Penduduk Terengganu Sertai Himpunan Aman Bantah Kekejaman Tentera Mesir

Diterbitkan: Jumaat, 16 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Penderitaan rakyat Mesir termasuk kematian orang awam dalam pertempuran antara pasukan keselamatan dengan penyokong bekas presiden Mesir Dr Mohamed Morsi yang digulingkan, turut mendapat simpati rakyat Malaysia.

Pada Jumaat, kira-kira 1,000 penduduk mengadakan himpunan aman selepas solat Jumaat di Masjid Jamek Pengadang Baru di sini bagi membantah kekejaman yang dilakukan tentera terhadap penyokong bekas presiden itu.

Anggota Jawatankuasa Himpunan Aman Untuk Mesir Peringkat Negeri Terengganu, Wan Muhd Faizol Wan Abas berkata pihaknya akan terus mengadakan himpunan bersiri itu sebagai solidariti untuk rakyat Mesir.

"Walaupun tiada sumber rasmi mengenai angka korban dan kecederaan rakyat di negara itu, rakyat Malaysia tetap berdoa agar kemelut di negara itu segera berakhir," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan selama sejam itu.

Krisis politik di Mesir yang bermula 3 Julai lalu hingga menyebabkan negara itu berada dalam keadaan tidak stabil mencapai kemuncaknya apabila tentera mula bertindak menyurai perhimpunan penyokong Morsi di dua dataran utama di Kaherah. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan