Polis Jamin Segerakan Lengkap Kertas Siasatan Kes Surau Di Sedili Besar

Diterbitkan: Khamis, 15 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Polis pada Khamis memberi jaminan untuk segera melengkapkan kertas siasatan berhubung kes surau di sebuah resort di Sedili Besar dekat Kota Tinggi yang diguna untuk upacara keagamaan Buddha.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, pihaknya kini perlu melengkapkan beberapa perkara dan rakaman percakapan sebelum kertas siasatan diserah semula kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

"Polis telah mengemukakan kertas siasatan kepada Ketua Unit Pendakwaan Johor, semalam namun setelah berbincang, polis diarah mengemaskini semula kertas siasatan itu untuk melengkapkan beberapa perkara dan rakaman percakapan," katanya kepada pemberita, di sini, Khamis.

Mohd Mokhtar berkata, pasukan khas yang diketuai Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Ismail Yatim akan meneliti kertas siasatan berkenaan hari ini dan siasatan segera akan dilakukan mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan.

Beliau dalam pada itu turut menasihatkan semua pihak supaya menyerahkan kes itu kepada polis sepenuhnya dan tidak bertindak melulu bagi mengelakkan kejadian buruk.

Mohd Mokhbar berkata, beliau mendapat maklumat bahawa ada pihak yang akan berkumpul di kawasan Tanjung Sedili selepas solat Jumaat esok untuk mengadakan demonstrasi berhubung kes itu.

"Polis sudah menjalankan siasatan dan menahan reman pemilik resort itu. Jadi, kami harap semua pihak bersabar dan tidak mengadakan demonstrasi yang boleh menggugat ketenteraman awam," katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan penduduk sekitar perkampungan nelayan Sedili Besar, Kota Tinggi gempar apabila bangunan yang didirikan di sebuah kawasan resort sebagai surau dicemari upacara sembahyang agama lain.

Upacara sembahyang oleh penganut Buddha itu disedari seorang pengunjung resort yang ingin menunaikan solat Asar, petang Sabtu lepas.

Sehubungan itu, pemilik resort berkenaan, seorang lelaki berumur 45 tahun yang berasal dari Singapura dan mempunyai status penduduk tetap (PR) negara ini ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan