Muhammad Sirajuddin Yang Impiannya Naik Ferrari Termakbul Meninggal Dunia

Diterbitkan: Khamis, 15 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEDIH… Pengurus Pusat Latihan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Norhayati Jantan (tengah) bersama ahli keluarganya menabur bunga mawar ke atas pusara anaknya, Muhammad Sirajuddin Mohd Zaini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Puah di Kuala Lumpur pada Khamis. Muhammad Sirajuddin, 11, atau lebih dikenali dengan panggilan 'Siraj' meninggal dunia kerana sesak nafas menanggung derita akibat penyakit barah tulang sejak tahun lepas.-Foto BERNAMA
SEDIH… Pengurus Pusat Latihan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Norhayati Jantan (tengah) bersama ahli keluarganya menabur bunga mawar ke atas pusara anaknya, Muhammad Sirajuddin Mohd Zaini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Puah di Kuala Lumpur pada Khamis. Muhammad Sirajuddin, 11, atau lebih dikenali dengan panggilan 'Siraj' meninggal dunia kerana sesak nafas menanggung derita akibat penyakit barah tulang sejak tahun lepas.-Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak berusia 11 tahun Muhammad Sirajuddin Mohd Zaini yang impiannya menaiki kereta Ferrari termakbul baru-baru ini, meninggal dunia pada Khamis akibat sesak nafas selepas dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Rabu.

Muhammad Sirajuddin yang lebih dikenali sebagai Siraj oleh keluarga dan rakan-rakannya, telah menderita penyakit barah tulang sejak setahun lepas.

Beliau adalah anak kepada pasangan Pengurus Kanan di syarikat Western Digital, Mohd Zaini Zakaria dan Pengurus Latihan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Norhayati Jantan.

Menurut Norhayati, Siraj dimasukkan ke PPUM selepas mengadu sesak nafas kira-kira 7 pagi Rabu dan meminta agar dia dibawa ke hospital itu untuk menerima rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia pada 4.45 pagi Khamis.

"Beliau (Siraj) menderita barah tulang selepas terjatuh semasa bermain bola sepak di sekolah pada tahun lepas. Dan selepas kejadian itu beliau menanggung derita akibat penyakit tersebut sehingga menyebabkan kaki kirinya terpaksa dipotong pada Mei lalu.

"Walaupun sudah kehilangan sebelah kakinya Siraj tidak mudah berputus asa dan cuba meneruskan kehidupannya seperti kanak-kanak lain," katanya ketika ditemui Bernama.

Norhayati berkata Siraj, yang merupakan anak ketiga dari enam adik beradik, dimandi serta dikafankan kira-kira 12 tengah hari Khamis di Surau Al-Taqwa, Taman Sentul Utama, dan disembahyangkan di surau yang sama sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Puah kira-kira 1 tengah hari.

Menceritakan keperibadian anaknya itu, beliau berkata Siraj seorang kanak-kanak yang tabah selain tidak mudah berputus asa walaupun menyedari kekurangan yang ada pada dirinya.

Norhayati berkata, selain mampu berdikari dan jarang meminta bantuan adik-beradik lain untuk melakukan sesuatu perkara, Siraj turut dikagumi oleh rakan sebayanya sebagai kanak-kanak yang serba boleh.

Bagi guru Bahasa Inggerisnya di Sekolah Rendah Kebangsaan La Salle 2, Sentul, Rohaya Othman, selain aktif dalam kelas Siraj turut menyertai rakan-rakan lain dalam aktiviti sukan walaupun menyedari hakikat beliau menghidap penyakit barah tulang.

"Nakal itu biasalah budak-budak, tapi saya kagum dengan sikap dan kecekalan Siraj... cuma selepas dia kehilangan sebelah kaki beliau kurang aktif," katanya.

Siraj sebelum ini pernah menyatakan hasratnya melalui Persatuan Impian Kanak-Kanak Malaysia untuk menaiki kereta mewah jenis Ferrari sebelum impiannya itu ditunaikan oleh pengasas Kumpulan Empire, Datuk Sean Y.T Ng yang membawa Siraj bersiar-siar dengan kereta Ferrari pada 4 Ogos lepas.

Bapanya Mohd Zaini berkata, walaupun mereka sekeluarga berasa sedih dan kehilangan atas pemergian Siraj namun beliau gembira kerana dapat menunaikan hajat terakhir anaknya itu untuk menaiki kereta Ferrari.

Sementara itu Presiden Persatuan Impian Kanak-Kanak Malaysia, Tan Sri Ramon Navaratnam dalam satu kenyataan melahirkan rasa sedih atas pemergian Siraj.

"Kami berasa amat sedih apabila mendengar berita pemergian Sirajuddin. Kami mengucapkan takziah kepada keluarganya terutama kepada ibu dan bapanya. Persatuan berbesar hati kerana berpeluang menunaikan hajat Sirajuddin untuk menaiki Ferrari," katanya.

Antara yang hadir menziarahi jenazah ialah Timbalan Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zakaria Abd Wahab. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan