Kempen Kawalan Tikus Peringkat Kebangsaan Dilancar 24 Ogos

Diterbitkan: Ahad, 11 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Kerajaan akan mengadakan kempen kawalan tikus secara besar-besaran dengan pelancaran peringkat kebangsaan pada 24 Ogos ini di bandar raya ini.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, kempen yang bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai ancaman kesihatan yang dibawa oleh tikus itu akan diadakan serentak di seluruh negara.

"Beberapa bulan lalu insiden penyakit kencing tikus banyak dilapor oleh media dan saya mengambil inisiatif untuk melancarkan kempen besar-besaran iaitu Kempen Kawalan (Antikencing) Tikus," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka di kediamannya di sini, Ahad.

Antara tetamu yang hadir ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan isteri Datin Seri Faridah Tussin, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Salleh Said Keruak, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Hajiji Noor, pembantu-pembantu menteri, wakil rakyat dan pemimpin parti politik negeri ini.

Abdul Rahman berkata, kempen itu memberi penekanan tentang pentingnya orang ramai menjaga kebersihan di kawasan perumahan, premis, restoran atau kedai masing-masing supaya tidak menjadi tempat pembiakan tikus.

"Rumah atau persekitaran yang kotor pastinya menarik perhatian tikus untuk membiak di kawasan itu," katanya.

Mengenai cadangan agar program perumahan transit diperluaskan kepada golongan bujang, Abdul Rahman berkata, buat sementara waktu ini keutamaan adalah kepada pasangan muda yang baru berkahwin.

"Memang ada permintaan supaya golongan bujang diberi peluang mendapatkan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) tetapi ini bergantung kepada keperluan dan bekalan rumah," katanya.

Dalam hal ini Abdul Rahman berkata, kerajaan perlu membina lebih banyak PPR bagi menampung keperluan di seluruh negara. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan