Kejadian Tembak Cetus Ketakutan Di Kalangan Ahli Kongsi Gelap

Diterbitkan: Sabtu, 10 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Tiga kejadian tembak, termasuk pembunuhan seorang peniaga berusia 37 tahun yang berlaku dalam tempoh 24 jam, dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan yang dikenali sebagai 'Gang 36'.

K. Veerappan ditembak apabila dia memberhentikan kereta BMW 530i yang dipandu berhampiran lampu isyarat di Jalan Anson pada pukul 11.50 pagi Khamis.

Nombor pendaftaran WVK 3636, dipercayai melambangkan angka kumpulan tersebut.

Seorang penunggang motosikal menunggang di sebelah kereta manakala pembonceng mengeluarkan pistol dan melepaskan 14 tembakan, 10 daripadanya mengenai bahagian leher, pipi dan perut.

Mayatnya terbaring dan baju putih yang dipakai berlumuran darah.

Tingkap sebelah tempat duduk pemandu hancur akibat tembakan.

Ketua Pilis Daerah George Town ACP Gan Kong Meng berkata Veerappan mempunyai tiga rekod jenayah narkotik sebelum ini, sambil menambah kereta yang dipandu adalah milik rakan lamanya berusia 38 tahun yang tinggal di Lebuh Macallum.

"Anggota polis forensik menemui 14 sarung peluru 9mm di tempat kejadian. Dua parang yang dibalut dengan suratkhabar ditemui di tempat duduk penumpang kereta itu," kata Gan.

Sebelum Veerappan ditembak, lelaki bersenjata melepaskan sekurang-kurangnya enam tembakan di banglo seorang ahli perniagaan di Jalan Utama.

Tiada siapa yang cedera dalam kejadian pukul 1.15 pagi itu yang dipercayai sebagai amaran kongsi gelap untuk ahli perniagaan itu.

Hanya anaknya berusia 29 tahun, seorang saudara perempuan dan seorang pembantu rumah berada di rumah pada masa kejadian.

Gan berkata, ahli perniagaan dalam lingkungan usia 60-an itu, yang kini berada di luar negara, telah membuat laporan polis bulan lalu selepas menerima surat ugutan yang mengandungi enam peluru.

"Saudara perempuannya dan pembantu rumah beliau mendapati serpihan kaca dari tingkap di lantai dan kesan peluru di dinding.

"Berdasarkan rakaman CCTV, lelaki bersenjata melepaskan tembakan secara rawak dari luar rumah," katanya.

Gan berkata ahli perniagaan itu juga telah menerima mesej teks dalam bahasa Cina menggesa beliau mendepositkan wang ke dalam akaun bank tempatan.

"Kami sedang menyemak nombor telefon mudah alih dari mana SMS telah dihantar dan akaun bank yang telah dibekukan.

"Kami sedang menyiasat kes itu di bawah Seksyen 39 Akta Senjata Api dan juga Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah," katanya, sambil menambah polis tidak menolak kemungkinan kes itu mempunyai kaitan dengan kumpulan tersebut.

Kejadian tembak ketiga berlaku di hadapan sebuah pusat hiburan di Jalan Datuk Keramat di mana bouncer berusia 43 tahun telah terkena tembakan di paha kiri pada pukul 12.30 pagi, Jumaat.

Lelaki bersenjata melepaskan tujuh tembakan tetapi hanya satu mengenai mangsa yang dikenali sebagai Too Pek (Bodoh - dalam bahasa Hokkien).

Bouncer itu dipercayai merupakan salah seorang daripada anggota tertinggi kumpulan Si Lian (Empat Tayar) yang juga dikenali sebagai Geng 04.

Difahamkan Too Pek baru sahaja keluar dari kereta BMW apabila penyerang tidak dikenali menaiki motosikal menembak beliau.

"Walaupun ditembak, dia berjaya mendapatkan bantuan daripada kawan-kawannya. Dia kemudiannya telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang di mana dia menerima rawatan pesakit luar.

"Dua tukang cuci warga asing telah disoal siasat oleh polis selepas mereka dilihat menyapu tujuh sarung peluru tujuh yang kemudiannya ditemui semula di tong sampah," kata sumber.

Persaingan antara kumpulan yang dikaitkan dengan perdagangan dadah itu juga dipercayai mempunyai kaitan di sebalik tiga kejadian tembak yang lain - di Parit Buntar, Perak, Batu Kawan, Pulau Pinang dan Air Keroh, Melaka.

Seorang pemandu van kilang, N. Jeevandran, 26 telah ditembak mati ketika meninggalkan rumahnya untuk pergi bekerja di Taman Seri Semarak, Parit Buntar pada 31 Julai.

Dia mempunyai lima rekod jenayah dan telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sehingga Enakmen Ordinan Darurat dimansuhkan pada tahun 2011.

Pada 12 Mei, S. Kannan, 37, dan G. Suresh, 28, terbunuh dan dua yang lain cedera parah dalam satu kejadian tembak di persimpangan lampu isyarat Bukit Tambun.

Mereka baru sahaja pulang dari majlis perkahwinan saudara apabila dua penyerang motosikal melepaskan beberapa tembakan pada kira-kira pukul 10.30 malam.

Kedua-dua si mati mempunyai rekod jenayah.

Polis percaya pembunuhan mungkin mempunyai kaitan dengan kes tembak S. Sara-Vanan, 39, di Air Keroh pada bulan Februari.

Saravanan, yang hadir dari Butterworth untuk dibicarakan bagi kes rompakan, telah ditembak mati sejurus selepas meninggalkan mahkamah.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan