Syarikat Guna WPC80 Tercemar Akan Diarah Tarik Balik Produk

Diterbitkan: Selasa, 6 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengarahkan syarikat yang mengimport ramuan produk berasaskan tenusu yang disyaki tercemar dengan bakteria clostridium botulinum untuk menarik balik produk mereka sekiranya ada di pasaran negara ini.

Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM Noraini Mohd Othman berkata kementerian juga akan memastikan proses pelupusan produk yang ditarik balik dijalankan oleh syarikat itu.

Katanya industri yang ada menggunakan ramuan 'Premix infant formula' atau 'follow-on formula' yang mengandungi ramuan 'whey protein concentrate' (WPC80) yang disyaki tercemar dari Fonterra New Zealand dinasihat supaya menghubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKMM) dengan kadar segera supaya pengesahan dapat dibuat.

Menurut Noraini siasatan sedang dijalankan terhadap syarikat-syarikat yang mungkin mengimport ramuan itu sebagai langkah kawalan bagi memastikan keselamatan produk makanan itu yang berada di pasaran.

"Sebagai langkah berjaga-jaga, ibu bapa dan penjaga yang menggunakan produk berkenaan dinasihat supaya tidak menggunakannya dan menggantikannya dengan produk jenama lain buat sementara waktu," katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.

Produk-produk yang disyaki dicemari clostridium botulinum termasuk Karicare Infant Formula Stage 1, Karicare Gold+Follow On Formula Stage 2 (6-12 bulan), Dumex Dupro, Mamex Cherish, Mamex Explore dan Bebelac 2.

Menurut Noraini, produk-produk itu tidak dibenarkan diimport ke negara ini melainkan dengan pengesahan daripada pihak berkuasa negara pengeksport bahawa produk itu tidak tercemar dengan bakteria berkenaan.

Pihak berkuasa Australia sebelum ini mengesahkan, WPC80 yang disyaki tercemar digunakan di dalam premix infant formula dan follow-on formula oleh Fonterra Australia Pty Ltd dan produk itu disahkan dieksport hanya kepada Danone Dumex Malaysia.

Syarikat itu bagaimanapun telah menarik balik secara sukarela beberapa kumpulan (batch) produk susu keluaran mereka sebagai langkah berjaga-jaga, dan akan mengambil langkah sama bagi beberapa lagi batch produk yang dikeluarkan.

Untuk maklumat lanjut pengguna boleh menghubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan di talian 03-88833652/03-88833653 atau melalui laman web http://fsq.moh.gov.my. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan