'Saya Diperlakukan Seperti Banduan' - Bekas Ratu Cantik

Diterbitkan: Selasa, 6 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Chai mendakwanya hidupnya terlalu dikongkong oleh Khoo.
Chai mendakwanya hidupnya terlalu dikongkong oleh Khoo.

PETALING JAYA: Bekas ratu cantik, Pauline Chai mendakwa suaminya yang juga seorang jutawan, Tan Sri Khoo Kay Peng memperlakukan hidupnya seperti banduan di sebuah estet berkeluasan 404 hektar (ha) di Britain.

Bercakap di khalayak ramai buat pertama kalinya selepas memfailkan petisyen penceraian berprofil tingggi ke atas Khoo pada Februari, Chai, 66, mendakwa dia tidak boleh meninggalkan rumah tanpa kebenaran Khoo.

Beliau berkata, pekerjanya turut memaklumkan kepada Chai dalam satu e-mel bahawa dia hanya boleh membelanjakan £50 (RM248.38) seminggu untuk membeli makanan.

"Buah-buahan dan sayur-sayuran dibenarkan untuk makan tetapi saya tidak boleh makan sesetengah makanan yang diingini. Anak perempuan saya berkata kepada saya bahawa saya diperlakuan seperti seorang hamba," katanya dalam satu laporan oleh sebuah tabloid British, Daily Mail.

Chai, yang juga Miss Malaysia/International 1969, meluahkan rasa gembira selepas memfailkan penceraian dengan berkata dia berasa terlalu 'dikongkong dan sunyi' sepanjang perkahwinannya suatu ketika dulu.

"Sepanjang perkahwinan kami, dia terlalu mengongkong saya tetapi sekarang segalanya sudah berubah. Saya lebih bebas," katanya.

Beliau berkata tidak pernah bercakap dengan suaminya selama setahun dan mereka tinggal berasingan di rumah agam bernilai 30 juta pound (RM149 juta) di sebuah estet di Rosway Park, dekat Berkhamsted, Hertfordshire.

Akhbar tabloid itu turut melaporkan Khoo dan Chai mempunyai pengawal keselamatan Gurkha sendiri untuk melindungi kawasan mereka di estet itu di mana Khoo tinggal dalam rumah agam dengan lima bilik tidur manakala Chai di ruang utama yang menempatkan 15 bilik tidur.

Buat masa ini, Khoo, 74, yang turut tersenarai antara 50 individu terkaya Malaysia yang disenaraikan Forbes dan Chai, terlibat dalam penyelesaian kes penceraian terbesar dalam sejarah Britain.

Chai mungkin menerima pampasan sehingga 500 juta pound (RM2.375 bilion) oleh Mahkamah Tinggi London, separuh daripada harta kekayaan Khoo ketika para peguam berusaha keras untuk membahagikan sama rata harta asas mereka.

Chai menyatakan 'tingkah laku yang tidak munasabah' sebagai alasan untuk penceraian itu.

Khoo memiliki 40 peratus pemilikan ke atas jenama antarabangsa, Laura Ashley.

Beliau juga merupakan pengerusi dan ketua eksekutif kumpulan Syarikat Malayan United Industries serta Pengarah Corus Hotel Limited di Britain.

Mereka berkahwin pada 1970 dan dikurniakan lima orang anak.

Akhbar itu turut melaporkan Khoo mahu kes itu dibicarakan di Malaysia di mana Chai akan menerima pampasan yang lebih sedikit berbanding yang bakal diterima di Britain.

Bagaimanapun, Chai menentang keputusan itu kerana dia tidak menjadi rakyat Malaysia selama 30 tahun dan berkata dia amat menyukai England dan segalanya di negara itu.

"Saya tinggal di sini untuk tempoh lama. Saya mahu pengadilan di England kerana ia adil. Itu permintaan saya," katanya.

Chai akan diwakili peguam penceraian terkenal Britain, Ayesha Vardag manakala Khoo diwakili Fiona Shackleton.

Baru-baru ini Shackleton mewakili chef Britain, Nigella Lawson untuk kes penceraiannya dengan jutawan pengiklanan, Charles Saatchi.

Turut menggunakan khidmat Shackleton adalah Putera Charles dan mendiang isterinya, Puteri Diana.

Perbicaraan awal kes ini akan diadakan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan