Pusat Pemulihan Sivik Untuk Individu Permain Isu Sensitif - MPM

Diterbitkan: Isnin, 5 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Melayu (MPM)menyarankan agar kerajaan mewujudkan pusat pemulihan sivik untuk individu yang mempermainkan isu sensitif di negara ini.

Setiausaha Agung MPM Dr Hasan Mad berkata pusat seumpama itu perlu memandangkan kini terdapat anggota masyarakat yang sengaja menyentuh isu sensitif sehingga mengundang kecaman pelbagai pihak.

"MPM merasakan orang seperti Maznah Mohd Yusof, Alvin Tan, Vivian Lee dan Namewee wajar dihantar ke pusat pemulihan sivik, bukan kem tahanan atau lokap," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini Isnin.

Kebelakangan ini, negara digemparkan dengan tindakan beberapa individu yang menyiarkan gambar serta video menyentuh sensitiviti kaum dan agama Islam di laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Youtube.

Terbaharu, Maznah, 38, yang dikenali sebagai Chetz dan merupakan seorang pelatih anjing, menjadi sasaran kritikan selepas video yang memaparkan beliau bersama tiga ekor anjing tiga tahun lepas dimuat naik di YouTube.

Hasan berkata pusat pemulihan itu, antara lain, bertujuan memberi bimbingan, semangat jati diri, patriotisme, nilai budaya dan adat resam individu terbabit.

"Kita memerlukan pusat pemulihan sivik kerana tidak semua tindakan atau hukuman di sisi undang adalah penyelesaian," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata MPM membidas tindakan pemimpin DAP membuat laporan polis serta melemparkan dakwaan bahawa ucapan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa lepas adalah berbentuk hasutan.

"MPM mendesak semua pemimpin parti politik berhenti daripada membuat provokasi dan memanipulasi ucapan Tan Sri Muhyiddin yang bersahaja itu," katanya.

Semalam, Muhyiddin dalam satu kenyataan berkata ucapannya pada majlis berbuka puasa bersama penghuni rumah Anak Rumah Amal Kasih Bestari di Putrajaya tidak merujuk secara khusus kepada sebuah klip video dalam laman YouTube bertajuk '1 Hari di Hari Raya'. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan