Polis Yakin Dapat Selesai Kes Bunuh Hussain Najadi Tanpa Kerjasama Anaknya

Diterbitkan: Isnin, 5 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis yakin dapat menyelesaikan kes tembakan pengasas Bank Arab-Malaysia, Hussain Ahmad Najadi walaupun anaknya enggan pulang ke Malaysia.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, siasatan berjalan lancar berikutan pihak polis mendapatkan sumber maklumat lain dan laporan perisikan.

"Tidak perlu bagi kami menghantar pegawai ke Rusia untuk bertemu anaknya dan mengumpul bukti daripadanya. Kami mempunyai pegawai yang berpengalaman yang boleh mengendali kes ini secara cekap," katanya kepada Bernama.

Sebuah akhbar tempatan melaporkan anak Hussain, Pascal Najadi, 45, tidak akan pulang ke Malaysia berikutan penasihat keselamatannya meminta beliau agar tidak mendedahkan dirinya kepada sebarang risiko.

Hussain, 75, ditembak mati Isnin lalu sementara isterinya Chong Mei Kuen, 49, cedera apabila mereka ditembak dari jarak dekat yang polis syak dilakukan pembunuh upahan.

Mereka sedang berjalan ke arah kereta mereka selepas membincangkan soal hartanah di sebuah tokong Cina di Lorong Ceylon di sini apabila kejadian itu berlaku.

Difahamkan polis memiliki rakaman kamera litar tertutup mengenai lelaki yang mempunyai hubungan dengan pembunuhan itu.

Pada Khamis, Pascal dilapor sebagai mendakwa pembunuhan bapanya telah dirancang terlebih dahulu dan tidak ada perjanjian hartanah yang terbabit. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan