Annuar Sah Tanding Pemilihan Umno

Diterbitkan: Isnin, 5 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: Anggota Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa mengesahkan beliau akan bertanding jawatan anggota Majlis Tertinggi Umno pada pemilihan parti Oktober depan.

Annuar berkata beliau membuat keputusan untuk bertanding pada pemilihan parti selepas memenangi kerusi Parlimen Ketereh pada pilihan raya umum lepas setelah 'berehat' satu penggal pada 2008.

"Apabila kembali sebagai anggota Parlimen, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menjadi pembuat dasar. Saya buat keputusan untuk tawarkan diri bertanding sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno.

"Namun, ia terpulang kepada kira-kira 150,000 wakil cawangan untuk membuat keputusan memilih siapa," katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar The Red Warriors bersama pengamal media di sini, Ahad.

Di MELAKA, Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron berkata beliau akan bertanding bagi mempertahankan jawatan Ketua Umno Bahagian Tangga Batu tetapi belum masanya untuk mengumumkan sama ada akan mempertahankan jawatan anggota Majlis Tertinggi parti. "Saya nak bertanding mengekalkan jawatan sebagai Ketua Umno Bahagian Tangga Batu dan ini mendapat restu daripada kawan-kawan saya," katanya ketika ditemui Bernama di Seri Negeri.

Beliau baru-baru ini diumumkan sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Melaka menggantikan Datuk Seri Mohd Ali Rustam oleh Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan