Ali Rustam Sahkan Akan Bertanding Pada Pemilihan Umno

Diterbitkan: Ahad, 4 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam hari ini mengesahkan akan bertanding pada pemilihan parti Oktober depan.

Beliau bagaimanapun belum mengesahkan jawatan yang akan ditandinginya kerana masih mendapatkan maklum balas daripada akar umbi.

"Saya kena tengok pandangan daripada akar umbi. Selain Bandar Tun Razak, ada juga bahagian lain yang telah menyatakan sokongan, tapi saya kena dapatkan banyak maklum balas dari akar umbi apa jawatan yang patut saya bertanding. Kena dapatkan yang betul-betul tepat sebab kali ini semua ahli yang buat keputusan.

"Mungkin belum masa yang sesuai, nanti dah sampai masa saya akan beritahu sebelum tarikh tutup (pencalonan) 7 September," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Ramadan kepada 500 penerima termasuk anak yatim dan warga emas di sini, Ahad.

Bekas Ketua Menteri Melaka ini berkata, dorongan kuat untuk beliau bertanding adalah disebabkan beliau mahu terus menyumbang kepada parti dan masyarakat.

Katanya, pada masa kini kedudukan orang Melayu dan Bumiputera seperti mahu diketepikan oleh banyak pihak dan ini menambah kepada semangatnya untuk mempertahankan hak golongan itu.

"Apa guna kita berjuang dalam politik kalau tidak kerana orang Melayu, hak agama Islam di samping menjaga kepentingan orang lain.

"Kalau kita tidak ada dalam parti, tidak melalui proses demokrasi berpolitik, macam mana kita hendak pertahankan hak yang kita miliki sekarang.

"Itulah perkara yang akan saya perjuangkan secara berterusan," katanya.

Mohd Ali, 63, dipilih sebagai Naib Presiden Umno pada pemilihan 2004, bagaimanapun tidak dibenarkan bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan 2009 selepas didapati melanggar peraturan pemilihan Umno.

Beliau yang pernah bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno turut melahirkan sokongan penuh agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Terdahulu dalam ucapannya, Timbalan Ketua Umno bahagian Bandar Tun Razak, Shahruddin Zainal Abidin berkata bahagian itu memberi sokongan penuh kepada Mohd Ali untuk bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan akan datang. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan