Abdul Farid Alias Presiden, CEO Baharu Maybank

Diterbitkan: Jumaat, 2 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Abdul Farid Alias
Abdul Farid Alias

KUALA LUMPUR: Datuk Abdul Farid Alias, 45, dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif baharu Malayan Banking Bhd, berkuat kuasa Jumaat.

Beliau sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Presiden dan Ketua Perbankan Borong Global.

Abdul Farid menggantikan Datuk Seri Abdul Wahid Omar yang meletak jawatan pada 4 Jun untuk menjadi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab untuk Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Abdul Farid sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Pengarah Pelaburan Khazanah Nasional Bhd dan anggota lembaga pengarah cabang pelaburan kerajaan, UEM Group Bhd, pada 2008.

Pengumuman hari ini dibuat oleh Pengerusi Maybank Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor pada sidang media di Menara Maybank.

Maybank ialah bank terbesar negara dan menduduki antara 100 bank terkemuka dunia.

Abdul Farid yang turut hadir pada sidang media itu berkata beliau dimaklumkan mengenai keputusan itu pada 11 pagi tadi.

"Saya terharu dan bangga diberikan tanggungjawab ini. Saya menyedari sepenuhnya Abdul Wahid meninggalkan saya dengan tanggungjawab yang besar.

"Namun, saya bertuah kerana di sini, di Maybank, kami mempunyai sekumpulan pemimpin yang berminat dan komited," katanya.

Menurut laporan tahunan Maybank, Abdul Farid mempunyai pengalaman selama lebih 20 tahun dalam pelaburan perbankan dan pasaran modal.

Beliau sebelum ini pernah berkhidmat di beberapa bank pelaburan seperti Aseambankers Malaysia Bhd dari 1992 hingga 1994, Schroders (1994-1995), Malaysia International Merchant Bankers Bhd (1996-1997) dan JPMorgan (1997-2005).

Selain itu Abdul Farid juga pernah berkhidmat dengan Khazanah Nasional Bhd dari 2005 hingga 2008 sebagai pengarah pelaburan.

Dalam Khazanah, beliau menduduki kerusi lembaga pesuruhjaya dan pengarah di beberapa syarikat awam yang disenaraikan.

Sebagai timbalan presiden dan ketua perbankan borong global, beliau dipertanggungjawabkan mengurus urusan perbankan korporat, perbankan pelaburan, perbankan transaksi, liputan pelanggan, pengurusan aset dan pasaran global yang membentuk perniagaan di bawah perbankan global.

Beliau mempunyai Ijazah Sarjana Muda Sains Perakaunan dari Pennsylvania State University, University Park, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan, Kewangan dari Universiti Denver.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan