Inkues Kematian Mangsa Tertimbus Di Jalan Macalister Ditetapkan 2-6 September

Diterbitkan: Khamis, 1 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Inkues bagi mengesahkan kematian seorang penjual nasi, Lim Chin Aik yang dipercayai tertimbus di dalam kawasan runtuhan penebat kilat di Jalan Macalister, di sini ditetapkan dari 2 hingga 6 September depan, kata Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas Jabatan Peguam Negara bersetuju mengadakan inkues berhubung kejadian itu setelah dimaklumkan oleh timbalan pendakwa raya.

"Keluarga Lim telah dimaklumkan mengenai perkara itu oleh pegawai penyiasat. Beberapa saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kejadian itu di mahkamah," katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Difahamkan inkues itu juga bagi membolehkan sijil kematian dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara, selain bertujuan memudahkan urusan tuntutan insurans oleh keluarga mangsa.

Pada kejadian ribut 13 Jun lepas, Lim, 44, dikhuatiri tertimbus di dalam tanah setelah pasukan mencari dan menyelamat menemui beberapa cebisan sebuah kereta Honda City berwarna kelabu yang terbenam di kawasan runtuhan itu dua hari selepas kejadian.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi kemudiannya mengesahkan nombor casis kereta yang terbenam itu sepadan dengan kereta milik mangsa yang dilaporkan hilang sejak hari kejadian selepas keluar untuk mengambil anaknya di sekolah.

Susulan itu, pihak berkuasa memulakan operasi mencari dan mengesan mangsa, tetapi operasi terpaksa dihentikan sepenuhnya pada 17 Jun bagi mengelak struktur bangunan warisan di kawasan tersebut terjejas.

Insiden itu turut meragut nyawa seorang pekerja asing, Jahir Sulaiman, 46, apabila lori yang dinaikinya bersama rakan sekerja dihempap penebat kilat Menara Umno runtuh. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan