Tindakan Persenda Islam, Jangan Sampai Cetus Ketegangan - TPM

Diterbitkan: Rabu, 31 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Tindakan segelintir pihak yang menyentuh sensitiviti masyarakat Islam akhir-akhir ini diharap tidak berlarutan sehingga mencetuskan ketegangan seperti berlaku di negara Islam lain, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perbuatan itu, kata timbalan perdana menteri, tidak seharusnya berlaku dalam keadaan negara yang ketika ini aman dan tenteram.

"Ini menunjukkan tidak ada persefahaman dan pengertian yang mendalam dalam masyarakat. Tiada orang Islam yang mempersendakan agama-agama bukan Islam seperti Kristian, Hindu dan sebagainya.

"Tetapi yang berlaku di sini, bukan Islam telah memperlekehkan dan mempersendakan agama kita," katanya semasa berucap pada majlis berbuka puasa bersama Anak-Anak Rumah Amal Kasih Bestari di sini, Selasa.

Muhyiddin mengulas penyebaran sebuah klip video dalam laman You Tube bertajuk 'Suatu Hari di Hari Raya' yang memaparkan seorang individu membasuh tangan dan kakinya seperti mengambil wuduk dan kemudian melakukan perkara yang sama kepada tiga ekor anjing.

Klip video itu berlatarbelakangkan takbir Hari Raya dan lagu Hari Raya nyanyian Datuk M.Nasir.

Sehubungan itu, katanya, tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang sengaja mencemarkan kesucian Islam.

"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri perlu cepat mengambil tindakan supaya kejadian ini tidak terus berulang," kata Muhyiddin.

Terdahulu, pada majlis berbuka puasa anjuran Eden Inc.Berhad itu, timbalan perdana menteri menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 70 anak yatim.

Hadir sama isteri beliau Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Beliau berharap sumbangan itu akan menceriakan lagi sambutan Hari Raya anak-anak yang kurang bernasib baik. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan