KPN Jamin PDRM Pertingkat Atasi Jenayah Berat

Diterbitkan: Rabu, 31 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi jaminan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempertingkat penguatkuasaan keselamatan, terutama bagi mengatasi jenayah berat yang berleluasa melibatkan pembunuhan menggunakan senjata api.

Beliau berkata PDRM berharap langkah itu dapat membantu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap keselamatan dan keamanan di negara ini.

"Kami (polis) faham masalah yang membelenggu rakyat ketika ini. Saya sebagai Ketua Polis Negara berjanji akan melakukan apa sahaja demi meningkatkan keyakinan terhadap keselamatan orang ramai dan keamanan di negara ini," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Op Selamat siri 3/2013 di sebuah pusat beli-belah di sini, Selasa.

Khalid diminta mengulas kebimbangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berikutan beberapa kejadian pembunuhan menggunakan senjata api yang berlaku mutakhir ini.

Najib berkata kejadian seumpama itu akan menyentuh perasaan dan keyakinan serta menambah kebimbangan rakyat terhadap soal keselamatan dan jenayah berat dalam negara.

Sehubungan itu, Najib mahu pihak polis mengambil tindakan segera bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap apa yang berlaku.

Khalid berkata PDRM akan mempertingkatkan lagi tahap keupayaan pasukan itu dalam memperoleh maklumat risikan, terutama yang melibatkan kes berkaitan jenayah senjata api.

"Kita juga ada mengesan segelintir mereka yang menjadi mangsa dalam kes tembak merupakan bekas penjenayah dan mempunyai penglibatan dalam aktiviti jenayah," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap undang-undang baharu bagi menggantikan Akta Ordinan Darurat 1969 akan segera dibentang di Parlimen.

Ditanya kes bunuh pengasas Arab Malaysian Bank Hussain Ahmad Najadi semalam, Khalid berkata polis sudah menemui beberapa petunjuk dan suspek yang telah dikenal pasti terlibat dalam kes itu.

Mengulas dakwaan R.Sri Sanjeevan menerusi laman Twitter bahawa ada anggota pasukan penguat kuasa memberi arahan agar dia ditembak, Khalid berkata aktivis antijenayah itu perlu mengemukakan bukti bagi memudahkan siasatan.

"Dia tak pernah kemukakan bukti pada kita (polis), jadi kalau dia rasa nak bagi (bukti) pada pihak lain yang dia lebih percaya macam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), silakan, kami tak halang," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan