Kelantan Ikut Beri Bantuan Khas RM500

Diterbitkan: Rabu, 31 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Kerajaan Kelantan turut memberikan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM500 kepada kira-kira 6,000 kakitangan kerajaan negeri serta pencen RM250 kepada pesara kerajaan yang menerima pencen, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

Beliau berkata kesemua mereka menerima bantuan sama dengan kakitangan kerajaan Persekutuan seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini yang menerimanya hari ini sempena Aidilfitri yang akan disambut minggu depan.

"Kita mengguna pakai BKK seperti yang diumumkan kerajaan Persekutuan iaitu sebanyak RM500 dan RM250 kepada pesara yang berpencen. Kita telah memperuntukkan sebanyak RM2.2 juta bagi pembayaran itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan Kelantan di sini.

Ahmad berkata sempena Aidilfitri, kerajaan negeri bersetuju mengehadkan had laju kenderaan bagi semua jalan negeri daripada 80km/j kepada 70km/j untuk memastikan kadar kemalangan jalan raya terus berkurangan ketika perayaan.

Beliau berkata penguatkuasaan had laju itu akan berlangsung selama 18 hari bermula esok.

"Kerajaan negeri juga bersetuju semua kenderaan berat seperti yang mengangkut kayu balak dan bahan kuari hendaklah berhenti beroperasi iaitu selama lima hari sebelum perayaan dan lima hari lagi selepasnya kecuali kenderaan yang membekalkan makanan," katanya.

Menurutnya keputusan itu merujuk kepada Seksyen 69(2) Akta Pengangkutan Jalan 1997 yang mana pihak berkuasa negeri boleh meminda had laju berkenaan pada bila-bila masa.

Sementara itu Ahmad berkata kerajaan negeri juga memutuskan semua kakitangan awamnya terutama suami isteri akan ditempatkan berhampiran kediaman mereka.

"Kita tidak mahu suami bekerja di Kota Baharu tetapi isteri kerja di Kuala Krai. Jadi melalui yang diputuskan ini, kerajaan akan berusaha menempatkan mereka dalam suatu kawasan yang berhampiran," katanya.

Dalam isu berasingan, kerajaan negeri juga bersetuju menubuhkan Majlis Penasihat Ekonomi Negeri yang bermatlamat meluaskan agenda pembangunan dan memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

Ahmad berkata majlis itu lebih kepada badan perundingan kepada kerajaan negeri yang memberikan pandangan khususnya dalam pelbagai aspek dan untuk menambah pendapatan serta hasil kepada kerajaan.

"Insya-Allah majlis penasihat ini akan dilantik dengan sebahagian besarnya daripada golongan profesional dan mereka ini akan membantu untuk mendapatkan input penting bagi menjamin supaya dapat menambah hasil kepada kerajaan negeri," katanya. BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Ayda Jebat Kecewa Mainan Politik

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Kolumnis

iklan

Iklan