TH Belanja RM104 Juta Subsidi Haji Tahun Lalu

Diterbitkan: Selasa, 30 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) membelanjakan sebanyak RM104 juta bagi menampung subsidi haji kira-kira 28,000 jemaah pada tahun lalu.

Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Karim berkata, kos subsidi yang ditanggung ialah RM5,575 setiap seorang jemaah muasassah bagi membolehkan bayaran haji kekal pada RM9,980 seperti tahun sebelumnya.

"Kos sebenar haji adalah sekitar RM15,555. Jadi subsidi ini membolehkan jemaah haji muasassah terus menikmati kemudahan yang disediakan dengan selesa," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas hadir pada majlis sumbangan Zakat Projek Ehsan TH peringkat Negeri Selangor di Hotel TH di sini, Selasa.

Ketika ditanya mengenai peruntukan subsidi haji untuk tahun ini, Abdul Azeez berkata jumlah itu belum diputuskan berikutan kuota jemaah haji Malaysia dikurangkan sebanyak 20 peratus pada tahun ini.

"Kita belum putuskan lagi mengenainya tapi pada tahun lalu sebanyak RM104 telah dibelanjakan, " katanya.

Terdahulu, Abdul Azeez menyampaikan sumbangan zakat projek Ehsan Tabung Haji (TH) dari Selangor berjumlah RM245,000 kepada seramai 490 golongan asnaf di negeri ini.

Abdul Azeez berkata, sumbangan tersebut diharap dapat meringankan beban kewangan penerima bagi kegunaan dalam bulan Ramadan dan persediaan menyambut Aidilfitri.

"TH menyasarkan agihan sumbangan bagi Projek Ehsan sebanyak RM1.6 juta kepada lebih daripada 3,000 golongan asnaf di seluruh negeri," katanya.

Turut hadir Pengarah TH negeri Selangor, Md Ridza Md Zain.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan