LPF Teliti 'The New Village' - Shabery

Diterbitkan: Selasa, 30 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lembaga Penapisan Filem (LPF) akan meneliti filem 'The New Village' dari pelbagai perspektif terutama unsur yang boleh disalah erti dan menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan masyarakat sebelum memutuskan sama ada ia sesuai untuk tayangan umum.

Menegaskan demikian Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Shabery Cheek berkata, kajian itu terutama dari segi fakta sejarahnya, sama ada boleh menimbulkan kecurigaan dalam kalangan rakyat.

Beliau mengulas kontroversi mengenai filem itu yang dikatakan mengandungi unsur-unsur yang memperjuangkan komunis.

"Dan sekiranya filem ini tidak sesuai ditayangkan, kita yakin LPF akan menarik semula filem itu untuk tontonan umum," katanya.

Bercakap kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini pada Selasa, Shabery berkata Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) juga akan memainkan peranan dalam memantau kandungan filem tempatan dan boleh membantu menentukan sama ada sesuatu filem itu sesuai untuk tayangan umum.

Semalam, Pengerusi LPF Datuk Raja Azhar Raja Abdul Manap berkata laporan lengkap penelitian semula terhadap filem berkenaan akan dihantar kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) minggu ini.

Sementara itu, dalam penggulungan perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong di Persidangan Dewan Negara, Shabery berkata kementerian akan terus memantau saluran televisyen yang masih lagi menyiarkan rancangan yang cenderung menyokong Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Katanya, kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) amat prihatin dalam meneliti aduan awam mengenai masih terdapat rancangan terutama komedi yang memaparkan lelaki berpakaian wanita atau sebaliknya.

"Namun kita lihat dari konteks apa mereka mengadakan watak tersebut, jika ia nyata mendewa-dewakan atau menyokong kegiatan LGBT, maka amaran dikeluarkan untuk mereka (stesen TV) menghentikan atau menyekat rancangan tersebut.

"Dalam pada itu pemantauan terus dilakukan agar ia tidak berulang," katanya.

Katanya, SKMM juga memantau pengisian siaran TV yang turut melanggar sensitiviti masyarakat negara ini dan menyatakan terdapat stesen televisyen yang didenda setelah amaran yang dikeluarkan tidak dipatuhi.

"Dalam hal ini setiap pemegang lesen televisyen yang dibenarkan membuat penyiaran mesti mematuhi beberapa kod kandungan yang digariskan termasuk garis panduan yang ditetapkan oleh kementerian dan beberapa lagi pihak termasuk Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim).

"Kawalan kendiri oleh setiap pemegang lesen perlulah ada bagi memastikan rancangan mereka tidak melebihi garis panduan yang ditetapkan terutama yang bertentangan dengan norma-norma sosial rakyat negara ini," katanya.

Sementara itu Shabery sekali lagi menegaskan kerajaan setakat ini tidak merancang untuk meminda undang-undang siber sedia ada untuk mengekang penyalahgunaan media sosial.

"Kita masih berkeyakinan bahawa dengan pelaksanaan Akta Komunikasi Malaysia 1998 dan beberapa akta yang lain, kes-kes sedemikian masih boleh kita kawal.

"Seperti kita sedia maklum banyak kes telah disiasat di pihak SKMM dan dibuat pendakwaan di mahkamah," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan