Kerajaan Sedia Bantu Polis Perangi Jenayah Berat - PM

Diterbitkan: Selasa, 30 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan ketika sidang media selepas Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2013 di Kementerian Kewangan di Putrajaya, Selasa. - fotoBERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan ketika sidang media selepas Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2013 di Kementerian Kewangan di Putrajaya, Selasa. - fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa berkata kerajaan sedia membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan apa sahaja yang perlu, mengikut asas dan kemampuan, untuk menambah keberkesanan dalam usaha memerangi jenayah, khususnya jenayah berat, di negara ini.

Perdana menteri turut melahirkan kebimbangan berikutan beberapa kejadian pembunuhan menggunakan senjata api yang berlaku mutakhir ini.

Beliau berkata kejadian seumpama itu akan menyentuh perasaan dan keyakinan serta menambah kebimbangan rakyat terhadap soal keselamatan dan jenayah berat dalam negara.

Sehubungan itu, Najib mahu pihak polis mengambil tindakan segera untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap apa yang berlaku mutakhir ini.

"Terpulang kepada polis untuk meminta daripada kerajaan apa yang mereka perlukan dari segi meningkatkan keupayaan dalam lingkungan alasan dan kemampuan yang boleh kerajaan sediakan untuk memerangi jenayah terancang dan jenayah berat dalam negara.

"Kita bersedia menimbangkan permohonan dan kehendak polis asalkan ada jaminan tiada salah guna kuasa dan hak kemanusiaan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2013 di Kementerian Kewangan di sini, Selasa.

Bagi tindakan segera, Najib berkata polis akan menggunakan undang-undang sedia ada untuk melaksanakan apa yang boleh dilakukan dalam memerangi jenayah berat itu.

Selain itu, Najib berkata satu jawantakuasa kecil yang terdiri daripada beberapa menteri termasuk Menteri Dalam Negeri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah ditubuhkan.

Beliau berkata jawatankuasa itu akan berbincang dengan Peguam Negara (AG) dan Ketua Polis Negara (KPN) bagi menentukan peruntukan tambahan dalam undang-undang yang boleh memperkukuh keupayaan bidang kuasa polis untuk bertindak.

"Perkara ini akan dibawa ke sesi Parlimen yang akan datang.

"Kita tidak boleh biarkan keadaan ini berterusan dan tindakan segera dan serius perlu diambil oleh pihak berkuasa untuk mengembalikan ketenteraman dan keyakinan rakyat," katanya.

Pada Isnin, Pengasas Arab Malaysian Bank Hussain Ahmad Najadi maut manakala isterinya cedera parah ditembak dari jarak dekat di parkir kereta selepas keluar dari sebuah tokong Cina, Kuan Yin Temple, di Lorong Ceylon, di Kuala Lumpur.

Ahad lepas, aktivis antijenayah yang juga Pengerusi MyWatch R. Sri Sanjeevan cedera ditembak di persimpangan berdekatan Taman Awana Indah, Jempol, Negeri Sembilan.

Seorang lagi mangsa kes pembunuhan berprofil tinggi ialah Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri) Datuk Shaharuddin Ibrahim yang ditembak ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya pada 26 April.

Sementara itu, Najib menolak dakwaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya terdapat tangan-tangan yang mempengaruhi keputusan hakim menolak petisyen pilihan raya baru-baru ini.

"Kerajaan tidak pernah campur tangan. Kita mesti yakin dengan keputusan mahkamah.

"Mahkamah juga yang membebaskan Anwar dulu. Jadi macam mana dia tidak yakin dengan sistem mahkamah di negara kita," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan