Hentikan Publisiti Mengenai Isu Fahaman Syiah - Mahfuz

Diterbitkan: Selasa, 30 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Media dan pihak berkuasa agama dinasihati supaya menghentikan segera apa jua publisiti mengenai isu fahaman syiah yang semakin menular di negara ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, laporan mengenai fahaman Syiah yang sedang hangat diperkatakan media sebenarnya mendorong umat islam khususnya generasi muda untuk terjebak dengan fahaman tersebut.

"Sebenarnya pendekatan yang dilakukan oleh media dan pihak berkuasa agama memberi publisiti kepada fahaman Syiah itu sendiri.

"Sesetengah orang yang tidak tahu tentang fahaman tersebut mula ingin mengetahui mengenainya. Itu yang membimbangkan saya," kata Mahfuz.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, isu itu sepatutnya dibendung dengan cermat tanpa mendapat sebarang publisiti daripada media.

"Saya setuju dengan cara pihak berkuasa membendung fahaman Syiah di negara ini tetapi pendekatan yang dilakukan perlu diperbaiki.

"Pihak berkuasa agama seharusnya memanggil penganut Syiah untuk mengenal pasti penyebar fahaman tersebut dan memperbetulkan kesilapan yang telah mereka lakukan, " katanya.

Sementara itu, beliau turut melahirkan rasa terkejut dengan dakwaan terdapat unsur fahaman Syiah dalam kandungan buku teks pendidikan Islam.

"Saya fikir pendedahan itu amat mengejutkan. Buku teks itu sendiri telah memberi publisiti dan menanam fahaman syiah dikalangan pelajar," katanya.

Pada masa sama, beliau meminta pihak berkuasa agama supaya membenarkan ahli ulama mengajar agama di masjid.

"Kadang-kadang ada sekatan...jadi ini yang perlu dilakukan untuk menjelaskan kepada generasi muda mengenai soal ahli sunnah wal jamaah," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia, Fathul Bari Mat Jahaya, pada Isnin tidak menafikan terdapat unsur fahaman Syiah dalam kandungan buku teks pendidikan Islam.

Beliau berkata, simptom tersebut dapat dikenal pasti melalui cerita yang dipaparkan dalam buku teks.

“Antara yang jelas ialah kritikan terhadap Saidina Uthman yang dikatakan gagal memimpin dengan baik. Sedangkan perkataan terhadap sahabat Nabi tidak boleh kasar kerana Baginda melarang kita menghina para sahabat.

“Unsur-unsur ini dipaparkan menerusi cerita. Saya dapati ia masuk sedikit demi sedikit dengan cara tersebut,” katanya yang dipetik dari akhbar Sinar Harian.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan