Sanjeevan Cadang Dedah Nama Anggota Polis Terlibat Sindiket Penyeludupan Dadah- Dakwa Rafizi

Diterbitkan: Isnin, 29 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pengerusi Mywatch, R. Sri Sanjeevan dilaporkan sedang merancang untuk mendedahkan penglibatan beberapa anggota polis dengan sindiket penyeludupan dadah di negara ini yang menjadi punca mengapa beliau ditembak dalam kejadian Sabtu lalu, dakwa Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat, (PKR) Rafizi Ramli.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan mendakwa Sanjeevan merancang untuk mendedahkan memo dalaman PDRM yang mengandungi senarai nama penglibatan anggota polis yang sedang disiasat dalam kes sindiket penyeludupan dadah tersebut minggu ini.

"Dia (Sanjeevan) ada menyatakan dia memiliki memo dalaman polis yang mengandungi senarai nama anggota polis yang sedang disiasat kerana didakwa mempunyai kaitan dengan sindiket dadah dan kumpulan kongsi gelap. Pada memo tersebut turut dicop dengan perkataan sulit.

"Saya agak keberatan untuk terlibat dalam isu ini kerana siasatan terhadap anggota polis yang terlibat sedang berjalan dan saya tidak mahu terlalu awal menaruh prasangka terhadap mereka,” katanya kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat PKR pada Isnin.

Beliau berkata Sanjeevan sekali lagi menekankan mengenai penglibatan beberapa anggota polis dengan kumpulan sindiket tersebut merupakan kesalahan sangat serius dan membawa hukuman berat sekiranya disabit kesalahan.

"Sanjeevan ada bertemu secara peribadi dengan saya pada majlis berbuka puasa di rumah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Segambut pada malam Jumaat lalu.

"Dia mahu mendedahkan senarai nama anggota polis yang terlibat itu minggu ini dan saya yakin dia akan berbuat demikian, walaupun tanpa bantuan saya,” katanya sambil menambah perbualan mereka berlangsung selama kira-kira 20 minit.

Ditanya sama ada beliau telah melihat senarai nama berkenaan, Rafizi berkata amat malang sekali beliau tidak berkesempatan untuk melihat senarai nama berkenaan dan Sanjeevan juga tidak sempat mendedahkan nama pegawai polis terlibat kepadanya.

Bagaimanapun beliau yakin Sanjeevan telah membuat beberapa salinan senarai nama mereka yang terlibat dengan sindiket tersebut sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya sesuatu berlaku kepadanya.

Sementara itu, Anwar menggesa pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyiasat kes berkenaan tidak wajar memasukkan nama anggota polis yang sedang disiasat dalam kes sindiket penyeludupan dadah tersebut.

Dalam kejadian Sabtu lalu, Sanjeevan 29, telah ditembak oleh seorang pembonceng motosikal yang berhenti di sebelah kereta BMWnya ketika beliau menurunkan tingkap kereta untuk merokok di simpang berhampiran Taman Awana Indah di Jempol, Negeri Sembilan kira-kira pukul 4.30 petang.

Beliau berjaya memandu melarikan diri walaupun beliau cedera teruk, dengan meninggalkan penyerang di belakang, tetapi berhenti kira-kira 300 meter daripada tempat kejadian.

Sementara itu, rakan yang turut bersamanya dalam kereta tersebut, Ramesh Balakrishnan, 35, mengambil alih kenderaan untuk membawa mangsa ke Hospital Jempol.

Sanjeevan kemudiannya dikejarkan ke Hospital Kuala Pilah untuk pembedahan ekoran kecederaan parah yang dialaminya.

Beliau kemudiannya dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan