Rang Undang-Undang Lindungi Biodiversiti Ke Parlimen Tahun Depan

Diterbitkan: Isnin, 29 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Rang Undang-Undang Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah bagi melindungi khazanah biodiversiti negara dijangka dibentang di Parlimen tahun depan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel berkata draf akhir rang undang-undang itu sedang dipinda dengan mengambil kira pandangan kerajaan negeri, kementerian, agensi dan pelbagai pihak berkepentingan.

"Draf ini akan disampaikan kepada Jabatan Peguam Negara pada September ini dan kemudiannya ke kabinet selepas itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat draf akhir rang undang-undang itu, di sini Isnin.

Terdahulu dalam ucapannya, Palanivel berkata Malaysia merupakan negara yang kaya dengan sumber biologi dan diiktiraf sebagai satu daripada 12 negara mega biodiversiti di dunia.

Menurutnya sumber yang terdapat di negara ini berpotensi untuk penghasilan produk baharu dalam industri farmaseutikal dan nutraseutikal seperti ubat-ubatan, makanan tambahan dan produk kosmetik.

Sehubungan itu sudah tiba masanya negara mempunyai satu undang-undang kebangsaan untuk mengawal selia aktiviti kajian dan penyelidikan serta 'bioprospecting' yang dijalankan terhadap sumber biologi negara, kata Palanivel.

Menurutnya ketiadaan undang-undang itu menyukarkan negara menangani kes-kes kecurian sumber biologi atau 'biopiracy' yang berlaku, iaitu sumber biologi diambil tanpa kebenaran dan dibangunkan tanpa perkongsian faedah untuk tujuan komersil.

"Rang undang-undang ini juga akan merealisasikan agenda negara untuk menggunakan biodiversiti dalam menjana kekayaan baharu seperti dinyatakan dalam Model Baru Ekonomi 2010 dan Dasar Bioteknologi Negara 2005," katanya.

Undang-undang ini juga mempunyai peruntukan yang mengenal pasti peranan masyarakat Orang Asli dan tempatan berkenaan sumber asli dan pengetahuan tradisi, kata beliau.

Selain mengawal selia aktiviti akses kepada sumber biologi, Palanivel berkata usaha negara mewujudkan undang-undang itu adalah selari dengan objektif Konvensyen Kepelbagaian Biologi di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang mengiktiraf sumber biologi sebagai hak mutlak sesebuah negara. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan