Petisyen Pilihan Raya Ditolak: Anwar Gesa Ketua Hakim Negara Campur Tangan

Diterbitkan: Isnin, 29 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria campur tangan dalam isu petisyen pilihan raya ekoran keputusan mahkamah menolaknya tanpa alasan yang munasabah.

Anwar turut mempertikaikan tindakan hakim menolak petisyen pilihan raya dengan alasan teknikal serta meletakkan tuntutan ganti rugi yang tinggi bagi setiap petisyen yang dikemukakan.

"Kadar penolakan petisyen atas alasan teknikal dan tindakan mahkamah mengenakan kos yang tinggi adalah tidak munasabah.

"Kami menggesa Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria campur tangan untuk menjawab perkara ini," katanya pada sidang media di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Isnin.

Anwar berkata, adalah tidak masuk akal bagi hakim mengenakan kos yang tinggi terhadap petisyen pilihan raya yang dikemukakan kerana ia melibatkan kepentingan awam. "Hakim Hadhariah Syed Ismail yang mengendalikan kes pestisyen Balik Pulau menyatakan bahawa kos RM30,000 yang dikenakan kepada petisyen Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Bahang menentang pempetisyen PKR tidak cukup tinggi dan terus mengenakan kos RM120,000. "Saya menyeru kepada Ketua Hakim Negara campur tangan dan pastikan ketelusan mahkamah dalam hal ini," katanya. Beliau turut menyatakan rasa tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyen pembangkang atas alasan yang tidak munasabah. "Tolak kerana teknikal kecil itu tidak munasabah, di (DUN) Machang dan (DUN) Selising, (Kelantan) ditolak kerana tidak dikemukakan oleh orang yang terlibat. "(Mahkamah) gunakan alasan yang paling tidak munasabah. Kata fakta tidak mencukupi, gunakanlah fakta yang ada. Beri ruang untuk kes itu diteruskan," katanya. Mahkamah Pilihan Raya sebelum ini telah menolak 10 petisyen pilihan raya yang difailkan Pakatan Rakyat kerana permohonan itu gagal memenuhi peruntukan di bawah Peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan