Gobind Gesa Kes Tembak Sanjeevan Disiasat Polis Bebas

Diterbitkan: Isnin, 29 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: DAP menggesa pasukan polis bebas menyiasat dengan teliti berhubung kejadian tembak ketua aktivis anti-jenayah MyWatch R Sri Sanjeevan.

Setiausaha biro undang-undang kebangsaannya, Gobind Singh Deo berkata siasatan seperti itu adalah wajar kerana Sanjeevan mungkin ditembak berikutan pendedahannya baru-baru ini tentang penglibatan polis dalam sindiket jenayah.

"Jika ini benar, langkah berjaga-jaga perlu diambil dalam menangani perkara itu dan satu pasukan khas perlu ditubuhkan untuk menyiasat perkara itu.

"Kita perlu memastikan mereka yang diberikan tugas menyiasat kes ini sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan aduan yang dibuat oleh Sanjeevan sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan, Ahad.

Beliau berkata Sanjeevan sebelum ini telah membuat beberapa laporan polis mengenai ancaman terhadap nyawanya.

"Lebih penting lagi, Ketua Polis Negara perlu memberitahu kita apa yang berlaku kepada laporan yang dibuat oleh Sanjeevan berhubung tembakannya.

"Adakah terdapat siasatan dan jika ada, apa yang diperolehi daripada siasatan itu?," katanya.

Gobind juga mempersoalkan polis kerana tidak menawarkan perlindungan kepada Sanjeevan walaupun menyedari nyawa dan keluarganya terancam.

Beliau menambah adalah penting perkara itu diambil serius memandangkan usaha Kerajaan untuk menggalakkan orang ramai membantu polis dalam membanteras jenayah.

"Jika mereka mahu orang ramai untuk mengambil bahagian dalam kepolisan komuniti dan sebagainya, maka ia perlu meyakinkan orang ramai, dengan penuh jaminan, bahawa adalah selamat untuk berbuat demikian," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan