200,000 Hektar Tanah Terbiar Akan Dimajukan Dengan Tanaman Padi - Ismail Sabri - Berita Semasa | mStar

200,000 Hektar Tanah Terbiar Akan Dimajukan Dengan Tanaman Padi - Ismail Sabri

Diterbitkan: Ahad, 28 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BERA: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengenal pasti sebanyak 200,000 hektar tanah terbiar seluruh negara yang berpotensi untuk dimajukan dengan tanaman padi.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tanah tersebut merupakan tanah hak milik individu, namun terbiar tanpa diusahakan dengan sebarang kegiatan pertanian yang boleh menjana pendapatan.

"Kita sedang berhubung dengan tuan punya tanah terbabit dan jika segalanya selesai termasuk urusan penyerahanan (hak milik) kawasan tersebut akan dimajukan segera untuk tanaman padi, manakala tanah terbiar lain juga akan dikaji untuk projek lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan zakat kepada penduduk miskin di Masjid Kampung Charuk Puting, di sini Ahad.

Katanya, masyarakat perlu mengubah tanggapan negatif bahawa sektor pertanian hanya untuk penduduk kampung kerana ia kini berpotensi menjana pendapatan dan dapat meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat dan negara jika dimajukan lebih terancang.

"Penduduk luar bandar perlu komited dan bersungguh-sungguh membabitkan diri dengan aktiviti dan program pertanian seperti ternakan lembu, ternakan ikan air tawar dan pertanian berskala besar yang boleh menghasilkan pendapatan lumayan.

"Kementerian komited membantu golongan petani, penternak, peladang dan nelayan dari segi memberi bantuan subsidi dan pinjaman bagi meningkatkan pengeluaran hasil pertanian mereka," katanya.

Beliau berkata, mereka perlu aktif dalam sektor pertanian kerana majoriti penduduk di kawasan kampung mempunyai keluasan kawasan tanah bagi mengusahakan projek pertanian yang berimpak tinggi. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan