Surat Dakwa Gelombang Kedua Penceroboh Tidak Benar - Polis Sabah

Diterbitkan: Jumaat, 26 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SANDAKAN: Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib pada Jumaat mengulangi penegasannya bahawa surat yang mendakwa ada gelombang kedua pencerobohan pengganas Sulu ke Sabah bulan depan adalah tidak benar.

Sehubungan itu beliau meminta rakyat di Sabah agar tidak bimbang kerana pada masa yang sama pasukan keselamatan tetap mempertingkatkan kawalan.

"Elakkan menyebarkan khabar angin hingga boleh menakutkan penduduk negeri ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan di sini, Jumaat.

Beliau berkata polis masih menyiasat mengenai surat itu yang dikatakan dihantar oleh pengganas dari selatan Filipina.

Surat bertarikh 3 Julai itu yang ditandatangani oleh 'Komando Militan' bagi pihak Kesultanan Sulu dan keluarga Kiram telah dihantar kepada pegawai daerah Tambunan, pegawai polis dan masyarakat Tambunan, memberi amaran mereka mahu memulakan perang di daerah itu pada Ogos ini sebagai membalas dendam terhadap pertempuran di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Mac lepas.

Dalam pada itu Hamza turut meminta orang ramai, khususnya pemimpin masyarakat agar menyalurkan sebarang maklumat mengenai kegiatan yang dipercayai ada kaitan dengan pengganas kepada pihak keselamatan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan